Mas Idayu buka mulut hal bercerai, nafi ada isu wujud orang ketiga

Oleh MAISARAH AISYA

Penceraian adalah jalan terakhir diambil pasangan setelah mencuba pelbagai cara untuk kekal hidup sebagai suami dan isteri.

Namun jika sudah tertulis jodoh sampai di situ sahaja maka penceraian adalah cara terbaik bagi menjaga hubungan antara bekas pasangan.

Sebelum ini media melaporkan bahawa penerbit di stesen TV3, Muhamad Sufian Che Isa mengesahkan dirinya dan penyanyi Mas Idayu sudah bercerai Mac lalu.

Bagaimanapun Mas Idayu dalam satu temu bual bersama media enggan mendedahkan punca perpisahan dan hanya memaklumkan dia yang menuntut cerai.

“Kalau ditanya kenapa, saya sangat layak untuk memohon perceraian. Saya menuntut cerai sebelum bermulanya program Famili Duo 4.

“Tetapi saya masih jalankan tugas sebagai juri seperti biasa. Saya datang ke mahkamah pada 4 Mac dan jatuh talak.

“Kalau seorang isteri minta cerai tanpa sebab, tidak cium bau syurga. Tak perlulah cari siapa salah kerana saya yang minta untuk dilepaskan, tak mahu buka aib sesiapa,” katanya dalam temu bual dengan media.

Pada masa sama dia menepis dakwaan wujud orang ketiga selain memaklumkan bahawa hubungannya dengan bekas suami masih baik.

“Tak tahu kenapa netizen buat andaian kata saya punca kami bercerai. Merangkaklah mereka yang tuduh saya nanti di Padang Mahsyar.

“Tiada orang ketiga, kami bercerai cara baik. Siap bergelak lagi semasa pergi mahkamah. Saya dan bekas suami tidak bergaduh langsung dan masih boleh berkawan,” tambahnya.

Baca juga: Apa sebenarnya maksud NFA dalam kes simbah asid Faisal Halim? Ini penjelasan Bukit Aman