Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan mempersoalkan pendekatan kerajaan bagi mewajarkan penerimaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dilihat berbeza ketika Cukai Barang dan Pekhidmatan (GST) mahu dilaksanakan tahun lalu.
Beliau ketika membahaskan TPPA di Parlimen pagi tadi berkata rakyat membandingkan pendirian kerajaan berpandukan jumlah penyertaan negara yang terlibat dalam kedua-dua polisi berkenaan.
“Apabila kerajaan melaksanakan GST, alasan kerajaan lebih 160 negara melaksanakan GST. Sekarang ini ikut penerangan daripada 60 negara yang dijemput untuk TPPA, hanya 12 negara sahaja bersetuju untuk menyertai (TPPA). Dulu ikut yang ramai, sekarang ikut yang sikit?” bidasnya.
Takiyuddin yang mengakui sebahagian besar rakyat Malaysia masih kurang memahami perjanjian global itu turut menyifatkan persidangan khas TPPA sejak semalam itu sebagai penyalahgunaan Parlimen.
“Secara tersiratnya persidangan khas ini penyalahgunaan Parlimen kerana kita melihat Parlimen pada kali ini seolah-olah jadi ‘rubber stamp’ untuk meluluskan satu hasrat kerajaan bagi melaksanakan polisi kontroversi yang mendapat bantahan ramai rakyat.
“Saya ingin mengingatkan walaupun mungkin kerajaan mendapat kemenangan undi pada pengundian nanti, itu sama sekali tidak menzahirkan sokongan majoriti rakyat di luar sana,” tegasnya.
Amerika pun belum muktamad
Membidas kenyataan kerajaan kononnya hanya Malaysia yang membahaskan TPPA di Parlimen, beliau menafikan dakwaan tersebut memandangkan Amerika Syarikat (AS) juga pada masa ini belum lagi memuktamadkan perjanjian itu.
“Sekiranya kita lihat di Amerika sebelum TPPA ini dibenarkan dibuka kepada negara-negara luar, Presiden Amerika perlu dapatkan kebenaran Senat pada Jun 2015. Jadi, tidak benar hanya Malaysia bawa isu ini ke Parlimen.
“Amerika apabila menandatangani TPPA ini Februari nanti perlu dibawa ke Kongres. Adakah wajar kita sebagai salah satu ahli dalam TPPA ini yang diketuai Amerika, Amerika sendiri belum dapat keputusan muktamad dalam kongres mereka tetapi kita sudah bersetuju untuk tandatangan?” soalnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia tidak harus menandatangani TPPA kerana tempoh perbahasan di Parlimen tidak mencukupi sebaliknya perlu dibawa kepada rakyat melalui saluran referendum kerana kesan perjanjian perdagangan berkenaan bukan sahaja menimpa golongan peniaga.
Takiyuddin yang juga peguam itu selanjutnya mengingatkan sidang Dewan Rakyat hari ini mengenai sikap berpura-pura AS berhubung pemeliharaan alam sekitar dan perubahan iklim.
“Hipokritnya Amerika dalam isu alam sekitar semua ahli TPPA perlu mematuhi standard perlindungan lapisan ozon dan alam sekitar tetapi hakikatnya fakta menunjukkan Amerika masih belum mematuhi Protokol Montreal berkaitan pelepasan gas rumah hijau. Senat Amerika sendiri belum mengesahkan Protokol Kyoto. Inilah sikap ‘double standard’ Amerika,” tambahnya lagi.
Sehubungan itu, Takiyuddin menyarankan perjanjian perdagangan antara negara Asean diberi tumpuan dengan memperkukuhkan agenda satu Asean satu suara selain menegaskan kesan TPPA daripada aspek keselamatan Malaysia yang dibimbangi terdedah kepada ancaman musuh Amerika.