Masih ada yang mahu jadi wakil rakyat

Oleh ARIF ATAN

“Sebelum pilihanraya kita ‘offer’ untuk jadi calon, tapi dia jawab takut kalah. Hari ini orang tu datang nak jadi wakil rakyat.”

Begitulah luahan Pengerusi Parti AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan ketika menggulung ucapan di Konvensyen AMANAH Johor 2018.

Beliau dalam ucapannya telah menyatakan terdapat segelintir ahli yang masih menyalahkan kepimpinan yang dilihat tidak membantu parti

Selain itu katanya lagi, terdapat pihak di dalam AMANAH yang mempertikaikan pelbagai lantikan politik tanpa mengambil maklum berkenaan perihal atau situasinya.

“Kita mahu membawa dakwah sekiranya terdapat agensi yang sebelum ini pemikiran mereka dikuasai oleh kerajaan lama, kita perlu mengambil tanggungjawab untuk mendakwah kepada mereka.

“Fokus pada matlamat perjuangan menegak Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin adalah sebagai tunggak perjuangan kita.

“Saya sebagai pimpinan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan bahawa parti AMANAH terus menjadi yang terbaik bagi rakyat Johor,” tegasnya ketika ucapan penggulungan tersebut.

Sebelum itu, terdapat perwakilan daripada Mersing dan Kluang yang meluahkan rasa kerisauan mereka terhadap kepimpinan yang dianggap masih lemah.

Seperti perwakilan Mersing, Azam Razak berkata, agensi seperti Tadika Kemas masih lagi dipengaruhi dengan kakitangan yang berpaksikan kerajaan terdahulu.

Beliau turut menyatakan kegusaran terhadap tingkah laku segelintir kakitangan agensi tersebut yang masih lagi memberi ruang seluasnya untuk parti pembangkang BN dalam mendekati masyarakat melalui agensi berkenaan.

Selain itu, perwakilan daripada Kluang, Zulhan Zain juga merasakan peri pentingnya campur tangan politik dalam GLC milik kerajaan Johor.

Katanya, kerajaan Johor hari ini perlu berkerjasama yang baik terhadap GLC milik kerajaan Johor agar segala perancangan dapat dilaksanakan tanpa ada sebarang sabotaj.

Justeru menurut beliau wajar supaya diadakan lantikkan politik di dalam GLC kerajaan Johor untuk memudahkan segala perancangan berkenaan.

Konvensyen Parti AMANAH Johor 2018 bermula pada jam 08:00 pagi hingga 10:30 malam dan ia telah dirasmikan oleh Presiden parti AMANAH, Mohd Sabu di bangunan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Bandar Baru Uda Johor Bahru.