Masih jelita walau usia setengah abad, 7 selebriti ini dikatakan layak digelar ‘vampire’ Malaysia!

Oleh WAN SITI AMINAH

Memiliki wajah tidak dimamah usia merupakan salah satu bentuk rezeki kurniaan Tuhan yang tentunya diimpikan oleh hampir semua insan bergelar wanita di muka bumi ini.

Bukanlah suatu perkara mustahil, sememangnya wujud manusia yang mempunyai wajah tidak dimakan usia atau awet muda di Malaysia termasuk beberapa orang selebriti wanita tempatan.

Selebriti ini bukan sahaja terkenal dengan rupa yang jelita malah tampak muda sehingga tidak mencerminkan usia sebenar mereka walaupun kesemuanya sudah mencecah 50-an dan ke atas.

Berikut kami kongsikan beberapa orang selebriti wanita tempatan yang masih kelihatan awet muda dan manis dipandang meskipun usia mereka hampir mencecah setengah abad.

Erra Fazira (51 tahun)

Pemilik nama sebenar Fazira Wan Chek ini mula dikenali ramai setelah menyertai pertandingan ratu cantik, Miss Malaysia World pada tahun 1992 lalu.

Berjaya dinobatkan sebagai pemenang, wanita yang mesra dengan panggilan Erra itu kemudian mencebur diri dalam dunia hiburan sebagai penyanyi dan juga pelakon.

Mula muncul di kaca televisyen selepas terjun ke dunia seni, pasti ramai yang setuju bahawa wajah Erra Fazira tidak kelihatan begitu berbeza malah semakin cantik walau bertambah usia.

Sofia Jane (53 tahun)

Mula terkenal sejak berlakon di dalam filem Harry Boy dan Kekasih Awal dan Akhir, Sofia Jane merupakan antara selebriti yang sangat popular pada tahun 90-an.

Namun, wanita kelahiran 1972 itu mula menyepikan diri dari dunia seni selepas berkahwin dengan usahawan, Meor Azman Mohamed ketika berusia 23 tahun.

Amy Mastura (54 Tahun)

Cukup terkenal dengan lagu yang mencuit hati, Amy Mastura memulakan karier seni tarik suara setelah menyertai pertandingan nyanyian Asia Bagus pada tahun 1993.

Turut menceburi bidang lakonan, Amy berjaya merangkul gelar Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 1999 dan Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 1998/1999.

Nasha Aziz (54 Tahun)

Memulakan kerjaya dalam bidang permodelan kira-kira pada 30 tahun lalu, Nasha Aziz terjun ke dunia lakonan dengan filem pertamanya, Kad Cinta pada 1997.

Walaupun sudah mencapai usia setengah abad, pemilik nama sebenar Noraishah Abdul Aziz itu nampaknya berjaya mengekalkan wajah yang awet muda dan berseri.

Datin Seri Maria Farida (56 Tahun)

Masih kekal cantik persis anak dara, pelakon jelita yang dilahirkan pada tahun 1969 ini rupa-rupanya mempunyai darah kacukan Melayu dan Filipina.

Oleh kerana dirinya mempunyai penampilan awet muda, Maria Farida sudah kelihatan seperti adik-beradik dengan anak lelakinya yang berusia lewat 20-an.

Ella (58 Tahun)

Pemilik nama sebenar Nor Zila binti Haji Aminuddin ini mula meraih populariti selepas membuat keputusan untuk bergabung dan membentuk kumpulan Ella & The Boys.

Tuah manusia tiada siapa yang tahu, Ella dilamar untuk menyertai kumpulan itu ketika membuat persembahan nyanyian di beberapa kelab malam di sekitar Lembah Klang.

Mula mencipta era kegemilangannya pada tahun 1985, penyanyi rock wanita terunggul itu masih kelihatan muda meskipun sudah mencecah usia 58 tahun.

Datuk Sheila Majid (60 Tahun)

Walaupun umurnya sudah menginjak 60 tahun, tidak dapat menafikan bahawa Ratu Jazz Malaysia ini mempunyai wajah awet muda yang tak makan dek usia.

Nama Sheila Majid mula popular pada lewat 1980-an selepas mengeluarkan lagu Sinaran serta Antara Anyer dan Jakarta yang berjaya menembusi pasaran Indonesia.

Baca juga: Lelaki Korea ini cuba hidup dengan RM50 seminggu di Malaysia