Masih tak selesaikan hutang, Kim Seri hanya mampu minta maaf

Oleh MALAYSIADATELINE

Tahun lepas gempar akan rakyat Malaysia yang hampir terkandas di Korea Selatan selepas pempengaruh Kim Seri lambat memberikan tiket pulang kembali ke Malaysia.

Umum mungkin tidak tahu tapi Kim Seri menyediakan perkhidmatan agensi pelancongan dan didakwa telah menipu rakyat Malaysia hingga berdepan kerugian hampir RM500,000.

Bukan jumlah yang sedikit, malah perkhidmatan disediakan banyak kekurangan hingga ada yang terpaksa mengeluarkan duit lebih untuk menyenangkan proses sendiri.

Berjanji akan menyelesaikan segala masalah sebelum 1 Februari, Kim Seri menerusi Instagram Story hanya mampu memohon maaf.

“Kepada semua yang menanti 1 Februari, mohon maaf kerana terlambat untuk update (kemas kini).

“Sekali lagi saya minta maaf kerana mengambil sedikit masa untuk selesaikan pembayaran balik.

“Saya perlukan sedikit masa sahaja lagi dan akan berusaha lebih lagi untuk selesaikan semua bayaran tersebut,” katanya dalam Instagram Story.

Pada masa sama Kim Seri turut mengakui dia menyekat sesetengah nombor disebabkan kurang selesa akan mesej berbaur ugutan.

“Dan saya akui saya block (sekat) beberapa orang yang hantar mesej-mesej macam ini (ugutan).

“Saya faham buat masa sekarang semua tengah marah cuma ada beberapa mesej saya memang tak sanggup baca dan saya terpaksa block.

“Tapi, jangan risau saya ada semua nombor akaun bank mangsa, bila ada duit saya akan terus transfer kepada mereka dan maklumkan sudah transfer.

“Saya cuma tak mampu tengok dan baca. Maaf,” ujarnya dalam InstaStory berasingan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKSK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan menerima 24 laporan daripada mangsa penipuan pakej pelancongan terbabit.

Baca juga: Dengan hanya teman datuk-datuk main golf, pelajar raih ‘pendapatan’ cecah RM1,000 sehari