Masuk umur 35 tahun ini sepatutnya jumlah wang persaraan yang anda patut ada

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah akaun di laman X iaitu The Futurist mendedahkan berapa sepatutnya simpanan yang perlu dimiliki rakyat Malaysia dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika umur mencecah 35 tahun.

Menurutnya, rakyat Malaysia perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM57,000 di Akaun 1 dan RM76,000 dalam keseluruhan akaun, termasuk jumlah yang ada dalam Akaun 2 dan Akaun Fleksibel.

Mengapa jumlah ini dianggap ideal? Ini adalah untuk memastikan rakyat mempunyai simpanan sebanyak RM240,000 dalam Akaun 1 apabila mencapai usia 55 tahun.

Dengan kadar dividen KWSP sebanyak 5.50% setahun, seseorang akan menerima kira-kira RM1,100 sebulan sebagai pendapatan pasif sekiranya mempunyai simpanan tersebut

Bagaimana untuk meningkatkan jumlah simpanan dalam akaun? Antara langkah yang disarankan ialah mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan menyimpan lebihan wang setiap bulan.

Baru-baru ini, seorang wanita turut berkongsi kejayaannya mengumpul hampir RM2 juta dalam akaun KWSP pada usia 35 tahun.

Perkongsian ini menarik perhatian ramai kerana jumlah simpanan yang tinggi ini dicapai pada usia yang masih muda bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Berdasarkan hantaran yang disertakan dengan tangkapan layar baki simpanan KWSP, pengguna ini mempunyai simpanan sebanyak RM1,918,580.36 yang terbahagi kepada tiga akaun berasingan — Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera, dan Akaun Fleksibel.

Antara strategi yang dikongsikan olehnya adalah:

1. Tidak Bertukar Tempat Kerja

Melalui dedikasinya, beliau menikmati kenaikan pangkat dan kenaikan gaji berterusan.

2. Sumbangan Sendiri ke KWSP

Setelah menyedari kelebihan menyumbang secara peribadi ke dalam akaun KWSP, beliau mula memaksimumkan jumlah sumbangan sendiri hingga RM100,000 setiap tahun.

Ini adalah cara beliau meningkatkan simpanan persaraan dengan pantas

3. Tidak Mengeluarkan Wang KWSP

Walaupun layak untuk membuat pengeluaran melebihi RM1 juta, beliau memilih untuk tidak menyentuh simpanan miliknya.