Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan pada semalam telah menyertai solidariti untuk rakyat Palestin di hadapan kedutaan Amerika Syarikat selepas Palestin sekali lagi dilaporkan menjadi mangsa keganasan Israel ketika bulan Ramadan.
Beliau menyatakan rasa kecewa bagaimana keganasan Israel yang jelas diketahui setiap tahun terhadap Palestin, tetapi satu per satu negara-negara Islam terus mengiktiraf zionis Israel.

Dalam himpunan solidariti tersebut, beliau menggesa Amerika Syarikat selaku sekutu rapat regim zionis untuk memberi tekanan agar menghentikan sebarang bentuk kezaliman terhadap Palestin.
“Keganasan Yahudi semua telah diketahui, kita ulang setiap tahun. Yang kita hairan, negara arab satu demi satu mengiktiraf negara Israel.
“Kita harap negara-negara Islam yang besar seperti Turki, Mesir, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), hendaklah putus segera hubungan dengan Israel.
“Pengiktirafan kamu itulah yang menyebabkan Israel rasa tindakan dia betul. Saya hairan mengapa negara-negara Eropah menentang Israel dan membela Palestin lebih kuat berbanding negara-negara Arab. Kita harap Malaysia terus tidak mengiktiraf Israel,” katanya.
Sementara itu melalui hantaran di Facebook, Mat Sabu berkata isu Palestin adalah isu sejagat di mana penindasan yang mereka alami sejak sekian lama, masih berterusan sehingga hari ini.
Justeru katanya, soal perbezaan politik perlu diketepikan ketika ini kerana membela nasib sesama umat Islam adalah tuntutan agama tanpa kompromi.