Mat Salleh kecewa tak jadi ‘pusat tumpuan’, tuduh orang Malaysia kedekut senyum

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pelancong warga asing berjaya mencuri tumpuan ramai selepas berkongsi pengalaman yang kurang menyenangkannya ketika berkunjung di Malaysia.

Menerusi satu hantaran di laman TikTok, pemuda yang dikenali sebagai Marilyn Luv itu difahamkan melakukan kunjungannya di lokasi bersejarah di Bandaraya Melaka.

Pemuda itu kemudian meluahkan rasa kecewanya selepas mendapati penduduk di negara ini kedekut dengan senyuman dan juga bersikap kurang ramah terhadapnya.

Jelas Marilyn, situasi ini berbeza dengan pengalamannya di Thailand di mana dirinya menjadi ‘pusat tumpuan’ dan rakyat negara itu juga sering melemparkan senyuman.

“Ketika jalan-jalan di Malaysia, saya perasan satu perkara. Masyarakat di sini tidak begitu mesra dan mereka juga tidak senyum antara satu sama lain. Berbeza ketika saya tinggal di Thailand.

“Saya selalu dapat banyak perhatian dan mereka juga selalu senyum antara satu sama lain. Tetapi di sini orangnya terlihat gementar. Saya tahu ada banyak peraturan di sini. Saya rasa tidak selesa, seperti ada sesuatu yang aneh,” katanya.

@marilyn_ruv

Not really anything bad, just feel like that, generally country so really nice and beautifel #travel #fyp #foryou #foryoupage

♬ original sound – Marilyn_ruv

Mengundang perbincangan hangat, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna TikTok langsung tidak bersetuju dengan andaian yang dibuat Marilyn itu.

Selain menyifatkan tindakan pelancong itu sebagai ‘lapar perhatian’, ada individu menjelaskan bahawa kekurangan senyuman mungkin berpunca daripada cuaca panas di sini.

“Rakyat Malaysia sejujurnya adalah antara masyarakat yang paling ramah dan saya rasa sangat dialu-alukan,” kata pelancong asing lain tidak bersetuju dengan Marilyn.

“Tiada masa nak senyum-senyumlah. Tengah panas-panas ini dia nak senyum pula,” kata seorang rakyat Malaysia memberi pendapat mengenai tuduhan lelaki itu.

“Lain kali datanglah ke Tanjung Rambutan. Semua orang di situ akan melemparkan senyuman kepada awak.” Seloroh pengguna lain di dalam ruangan komen tersebut.

Baca juga: Diberi jolokan ‘tailor gila’, ibu tunggal raih ratusan ribu ringgit jahit baju tampak mewah tapi harga marhaen