Mawi dedah pernah disahkan mati 15 minit dan tiba-tiba hidup semula, rasai kebenaran sakaratul maut

Oleh KIM SYAZIE

Penyanyi Mawi mendedahkan pernah melalui pengalaman ‘nyawa ditarik’ atau apa yang dipanggil sebagai sakaratul maut, sehingga disahkan meninggal dunia kerana tiada denyutan nadi selama 15 minit.

Pendedahan itu dibuat dalam satu siaran podcast yang dimuat naik di TikTok dan mendapat perhatian banyak pengguna media sosial ketika ini.

Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 42, berkata, dia pada awalnya mengalami gejala muntah darah sebelum dikejar ke hospital.

Di sana, dia sempat menghubungi seorang ustaz yang pernah merawatnya dahulu dan ustaz berkenaan berkata, ada orang ingin ‘buat’ Mawi sampai mati.

“Ketika roh saya di atas ubun-ubun, rasa kulit-kulit ni tersiat. Lubang liang roma ni rasa tersiat-siat. Liang roma kita ni banyak bro. Rasa terbuka semua, dan mengembang. 

“Rasa macam ada satu benda besar nak keluar daripada jasad kita ni. Masa dia nak keluar tu saya nampak dunia ni berpusing,  macam kiamat.

“Dengan isteri saya dah hancur bersepai. Pak cik saya pun bersepai. Semua kat dalam tu saya nampak bersepai. Bila semua berkecai, masa itu roh keluar.

“Sebelum ini saya pernah dengar ulama kata sakaratul maut tu macam mana. Tapi bila saya lalui sendiri tu, memang betul lah. Ulama kata mati tu kiamat kecil kan, memang nampak kiamat,” katanya.

Selepas itu katanya, dia disahkan mati selama 15 minit kerana tiada lagi denyutan jantung.

“Waktu itu saya muntah darah dan disahkan mati 15 minit, kemudiannya saya hidup balik.

“Betul bro, ini real. Jantung saya berhenti. Masa itu yang ada tengok saya ialah pak cik saya, isteri saya dan kembar dia.

“Nurse pun datang tengok saya memang dah tak ada dah. Dan dia orang (yang ada) dah plan nak bacakan surah Yasin dah untuk saya. Sekali, saya buka mata balik,” kongsinya lagi.

Dalam laporan berasingan oleh Kosmo!, Mawi berkata, perkara itu juga membuatkan dia terpaksa berehat dari industri seni kerana takut kejadian berkenaan berulang kembali.

Isterinya, Nora’ Asyikin Rahmat atau Ekin juga enggan membenarkan dia terlibat lagi dengan industri seni selepas melalui banyak pengalaman buruk.

“Ekin minta saya berhenti menyanyi, keluar dari industri seni kerana tak mahu perkara begini jadi lagi.

“Tapi saya suka menyanyi, jadi saya tawakal dan percaya pada Tuhan.

“Tiga tahun saya diam, saya fikir mahu berhenti atau tidak. Selepas itu datang tawaran mengarah yang membuatkan saya jatuh cinta dengan bidang pengarahan pula,” katanya.

Mawi berkahwin dengan Ekin pada 20 Disember 2008 dan mereka dikurniakan seorang anak bernama Cahaya Malaika, 13, tahun.

Baca juga: Baru tahu ada cara ‘betul’ guna mesin pengering di dobi, patutlah kain susah kering!