Masih dengan masalah kesesakan pada waktu puncak, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turun padang untuk tinjau keadaan sebenar.
Onn Hafiz meluangkan masa meninjau keadaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di TikTok, kelihatan Onn Hafiz menyoal beberapa individu yang dipercayai pegawai bertugas di CIQ mengenai situasi yang berlaku.
Bukan sahaja sesak, dapat dilihat pengguna jalan raya turut dilihat membunyikan hon kenderaan mereka.
“Dua hari lepas saya datang, tak marah macam ni? Ini first time saya nampak bottle neck macam ni. Something is happening down here,” katanya kepada pegawai di situ.
Apabila ditanya mengapa ramai yang membunyikan hon, salah seorang pegawai di situ menjawab situasi itu perkara biasa.
Tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut, Onn Hafiz terus ke tempat kejadian dan mengarahkan trak skylift yang diparkir di laluan itu untuk diubah.
“Awak suruh driver awak alihkan skylift ni sekarang. Pagi-pagi nak kacau kat sini buat apa? Padanlah jammed,” ujarnya.
Rata-rata warganet memuji tindakan beliau yang turun padang untuk mengenal pasti isu yang menyebabkan kesesakan.
“Nak tunggu menteri turun baru nak buat kerja. Terbaik MB Johor. Harap berterusan la macam ini, pantau kakitangan yang bawah ini,” komen Mohd Fendi.
“MB cuba menyamar jadi penunggang dan naik motor masa waktu puncak, boleh lihat berapa kaunter buka lepas ini,” tambah pengguna TikTok.
Namun orang ramai gusar jika keadaan tersebut tidak kekal lama dan jalan kembali sesak tanpa kehadiran beliau.
Baca juga: Mahu tumbang kerajaan, “Sampai bila rakyat tanggung keadaan sebegini?” – Sultan Johor