“McDonald’s Malaysia tak sumbang pada Israel, tak usah boikot”, padu nasihat mufti isu boikot McD

Oleh KIM SYAZIE

Berikutan keangkuhan penjajah Israel yang tidak menghiraukan desakan gencatan senjata di Palestin, rakyat Malaysia terus bersolidariti demi saudara seagama di Gaza.

Di Malaysia, satu gerakan besar-besaran untuk memboikot produk negara-negara pro Israel semakin kuat digerakkan.

Apa yang menjadi perdebatan hangat adalah langkah sebahagian rakyat Malaysia yang memboikot restoran makanan segera McDonald’s selepas McDonald’s Israel mengumumkan sokongan penuh kepada tentera zionis.

McD Malaysia bagaimanapun telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan kedudukannya sebagai syarikat yang tidak menyokong pencabulan hak asasi manusia dan sentiasa berdiri di belakang Palestin.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor nampaknya turut senada dan mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak memboikot syarikat itu kerana pihak pengurusan sudah menegaskan mereka tidak memberi sebarang sumbangan kepada Israel.

Wan Salim turut menasihatkan orang ramai yang mahu melakukan tindakan memboikot mana-mana syarikat didakwa berkaitan dengan Israel mestilah berdasarkan bukti jelas dan meyakinkan, bukan sekadar sangkaan atau andaian semata-mata.

“Perlu dijelaskan bahawa McDonald’s Malaysia tidak termasuk antara syarikat yang perlu diboikot kerana pihak pengurusannya sudah memberi penjelasan, selain itu syarikat berkenaan juga mengeluarkan zakat menerusi pejabat urus zakat di beberapa negeri.

“Dalam membela pihak yang teraniaya jangan pula sampai menganiaya pihak yang lain, jadi sebagai umat Islam kita hendaklah menegakkan keadilan walaupun terhadap orang bukan Islam.

“Ini kerana nilai keadilan yang diperintahkan agama Islam supaya ditegakkan adalah bersifat sejagat, bukan kepada masyarakat Islam sahaja,” katanya memetik Harian Metro.

Baru-baru ini, akhbar itu melaporkan nasib yang terpaksa dihadapi kira-kira 21,000 pekerja McDonald’s Malaysia susulan kempen boikot terhadap restoran khidmat segera.

Mereka juga dilabel sebagai pendukung Yahudi dan menerima pelbagai cemuhan serta cacian masyarakat.

Baca juga: “Jururawat itu mula tunjuk taring lepas nenek meninggal, berani dia telefon atuk malam-malam”