Kerajaan negeri Melaka bercadang mewujudkan enakmen khas bagi membolehkan tindakan keras termasuk penjara dan denda diambil terhadap individu yang mengakui sebagai Sultan Melaka dan waris Sultan Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata kerajaan negeri akan berbincang secara terperinci bagaimana untuk memperkenalkan enakmen khas itu pada persidangan dewan undangan negeri akan datang.
“Saya kira enakmen itu nanti akan melindungi pihak kerajaan dan ia boleh diaplikasikan bagi mengambil tindakan dan mengenakan hukuman yang lebih keras kepada mereka yang menuntut sebagai Sultan Melaka dan waris atau segala hal berkaitan dengannya.
“Sebelum ini kita telah adakan perbincangan berkenaan isu ini dan kita akan meneruskan perbincangan untuk mendapatkan fakta-fakta dari pakar sejarah.
“Usul ini akan dibawa oleh Timbalan Exco Pembangunan Belia dan Warisan Negeri Datuk Norpipah Abdol,” katanya.
Idris bercakap kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Forum Khas Isu Sultan Melaka dan Bonda Ratu di Auditorium Perbadanan Muzium Negeri Melaka (Perzim) hari ini.
Forum tersebut dianjurkan kerajaan negeri Melaka, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep), Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Institut Seni Malaysia Melaka (Ismma) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).
Idris berkata kerajaan negeri menerima baik resolusi forum tersebut.
Antara intipati resolusi adalah Kesultanan Melayu Melaka telah berakhir atau tamat pada 24 Ogos 1511, setelah dijajah oleh Portugis dan kemangkatan Sultan Mahmud Shah di Kampar, Riau, pada 1528.
Resolusi itu turut menyokong penuh kerajaan negeri untuk mewujudkan enakmen khas bagi menangani isu individu yang mengakui sebagai Sultan Melaka dan waris Sultan Melaka.
Isu Sultan Melaka telah wujud sejak beberapa tahun lepas apabila seorang ahli perniagaan, Noor Jan, 58 tahun, mengaku sebagai pewaris sebenar takhta Kesultanan Melaka dan menggelarkan dirinya Sultan Melaka.
Malah masyarakat diminta tidak teruja dengan penganugerahan gelaran Datuk Paduka Mahkota Melaka kepada Abdul Rani Kulup Abdullah (ayahanda Arka) daripada individu yang mendakwa dirinya Sultan Melaka Darul Islam, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Noor Jan Shah Ibni Almarhum Yam Raja Tuah.
Penulis dan pakar motivasi, Mejar (B) Mohammad Qayyum A. Badaruddin berkata, ia hanya strategi Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) untuk dilihat intelektual di mata masyarakat negara ini semata-mata.
Terbaru, seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang mengaku sebagai ‘Bonda Ratu’ ditahan polis bersama suaminya di rumahnya di Sungai Rambai, Jasin pada 7 Januari 2016 kerana merancang mengadakan majlis penganugerahan pingat di Melaka pada 9 Januari.
Dia yang mendakwa dirinya ‘Raja Kerinchi Tinggi Sumatra’ yang direman selama empat hari itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.