Melayu perlu contohi DAP iktiraf karya seni, kata pelukis

Oleh MALAYSIADATELINE

Di seberang hentian bas pekan Kuala Kubu Bharu, Selangor seorang pelukis bertopi dan berjanggut putih tenang mewarnakan lukisannya. Walaupun Melayu, beliau mahu DAP menjadi contoh dalam menghargai karya seni.

Empat keping gambar potret berwarna digantung di satu sudut dipanggil Pohon Seni itu. Wajah pemimpin politik terkenal iaitu Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang tentu memberi seribu erti kepada seniman berusia 65 tahun ini.

Redup tengah hari tambah mendamaikan apabila pelukis ini menumpahkan ilhamnya di bawah pohon nan rendang dengan sapaan angin bertiup lembut.

Calitan beberapa warna pada karyanya dilihat begitu bersahaja ketika majoriti orang di sekeliling sibuk dengan urusan harian didaerah Hulu Selangor yang menyimpan banyak warisan sejarah ini.

Pelukis Mansor AzizMansor Aziz awalnya, agak pendiam untuk diajak berbual sesuai dengan kegiatan yang memerlukan sepenuh tumpuan itu, akhirnya mesra berkongsikan hasil karyanya.

Dua album koleksi lukisan beliau yang bukan untuk dijual pastinya mempunyai nilai istimewa di hati seniman berasal dari Pulau Pinang ini.

Selain pemimpin politik termasuk mendiang Karpal Singh, Mansor juga menterjemahkan kekagumannya pada sosok yang berjasa dalam bidang pendidikan, sukan dan hiburan.

Antaranya Naib Canselor pertama Universiti Utara Malaysia (UUM), Allahyarham Tan Sri Dr Awang Had Salleh; seniman negara Tan Sri P.Ramlee dan pemain bola sepak terkenal era 1970-an, Sharuddin Abdullah.

Bahkan, peminat siri James Bond sejak dari siri pertama ini lagi mengabadikan adiwira pujaannya dalam potret berwarna lengkap bersut dan bertali leher sebagai koleksinya.

“Saya mula melukis sejak kanak-kanak lagi. Sekarang sudah lebih 50 tahun saya sudah melukis ribuan lukisan. Selain untuk dijual banyak juga karya saya ini untuk simpanan saya sendiri. Yang ini (kesemua watak adiwira James Bond) buat masa ini saya tak jual,” ujarnya sambil tersenyum ketika ditemui Malaysia Dateline hari ini.

Sambil menyelak album, Mansor sempat juga melahirkan kekecewaannya terhadap kepekaan sebahagian besar pemimpin Melayu sama ada dari parti politik mahupun jabatan dan agensi kerajaan yang dilihat mengalami krisis ‘kemarau seni’.

Sebaliknya, iltizam pemimpin bukan Melayu terutama dari DAP yang kerap dimomokkan dengan rasisme, setakat ini lebih menonjol melalui saluran dana termasuk ruang kepada seniman sepertinya untuk berkarya.

Mansor melukis di bawah pohon rendang  yang diletakkan papan tanda 'Pohon Seni' di pekan Kuala Kubu Baru.Melayu perlu contohi DAP iktiraf seni

Beberapa kali memuji kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong menganjurkan kegiatan seni budaya dan sastera di pekan tersebut, beliau bersyukur kerana pemimpin DAP itu terbukti berusaha merakyatkan khazanah warisan masyarakat.

“Pemimpin Melayu patut contohi DAP iktiraf karya seni. Yang Dipertua majlis daerah, ketua pengarah jabatan kerajaan pun mesti ingat aspek pembangunan budaya sama penting selain kemajuan dari segi material.

“Berpuluh tahun saya melukis, inilah kali pertama adanya program yang mengangkat golongan seperti kami ini,” ujarnya sambil menunjukkan kad undangan Program Seni dan Masyarakat kedua yang bakal berlangsung 25 dan 26 Disember ini.

Menurut Mansor, aktiviti anjuran bersama NGO Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Persatuan Sejarah Kuala Kubu Bharu serta Adun Kuala Kubu Bharu dan Majlis Daerah Hulu Selangor selayaknya dicontohi oleh pemimpin lain.

“Patutnya program mendekatkan masyarakat kita dengan seni budaya, sastera dan sejarah ini patut diperluaskan ke seluruh negara.

“Soalnya, mana dia pemimpin yang sebahagian besarnya Melayu baik di peringkat parti politik sampai yang mengetuai pentadbiran di peringkat tempatan?” soalnya.

Hal inilah, baginya, menyebabkan pembudayaan dan kesedaran budaya dalam kalangan sebahagian besar rakyat negara ini begitu rendah.

Seni untuk semua

“Seolah-olah karya seni hak ekslusif golongan macam kami. Bahkan ada yang keterlaluan menganggap kami tidak berpijak di bumi nyata sedangkan kalau di negara maju, karya seni diiktiraf dan menjadi identit kebanggaan mereka.

“Pemimpin kita di Malaysia ini kata mahu negara maju, mahu mencapai negara berpendapatan tinggi tetapi kesedaran dan pembangunan budaya lemah.

“Bila lemah budaya, terhakis jati diri, hilang prinsip dan maruah akhirnya itu yang mudah gejala tidak baik dari tahap serius seperti rasuah dan membuang sampah berterusan berlaku ketika bangunan dan kemudahan bertaraf pertama rakus dibina,” ujarnya lagi.

Selain potret dan pemandangan, Mansor yang mahir dalam media seperti mural, oil plant dan arcelic boleh dihubungi melalui nombor 017-3846470 atau 03-60641125.

Sementara itu, orang ramai dialu-alukan memeriahkan Program Seni dan Masyarakat selama dua hari bermula esok di Galeri Sejarah Kuala Kubu Bharu dengan penampilan istimewa penyair, pengarang, seniman dan pelukis Prof Dr Siti Zainon Ismail.

Semua peminat sastera dan seni dijemput hadir ke program Seni dan Masyarakat yang akan diadakan selama dua hari di Hulu Selangor.