Penyanyi, Ina Naim tidak berdiam diri apabila pengguna media sosial bertindak meninggalkan kata-kata negatif mengenai bahagian wajahnya iaitu mulut dalam satu sesi siaran langsung baru-baru ini.
Menerusi sesi siaran langsung tersebut, Ina dilihat sedang mempromosikan produk jualannya namun seorang lelaki telah meninggalkan komen bertanya mengapakah mulut penyanyi berusia 41 tahun berkenaan terlihat senget.
Pemilik nama sebenar Nordiana Mohd Naim itu terdengar seperti kesal sebelum mengatakan bahawa dirinya tetap bersyukur dengan setiap kurniaan Allah walaupun tidak terlihat sempurna di mata orang lain.
Sesi siaran langsung tersebut sempat dirakam oleh salah seorang penonton sebelum video yang berdurasi 16 minit 13 saat berkenaan dimuat naik semula di platform TikTok.
“Memang mulut saya senget. Kenapa, anda ada masalah? Biarlah mulut senget, tidak mengapa. Asalkan mulut ini sentiasa berzikir dan ingat tuhan. Lagi pula mulut saya nampak senget bukan sebab pergi cucuk.
“Tetapi inilah yang Allah kurniakan. Tetapi yang penting dengan mulut senget ini, saya berharap Allah menerima segala amalan-amalan yang baik. Jangan dapat mulut cantik, pergi mengata dan mengumpat orang.
“Biar mulut senget. Kalau saya sempurna, kemungkinan akan menjadi orang sombong. Kalaulah kita ini diciptakan sempurna, akan jadi sombong dengan semua orang. Sebab itulah Allah jadikan kita ada kelemahan,” katanya.
Walaupun merasa kesal dengan komen ditinggalkan oleh pemuda berkenaan, Ina yang turut bergelar usahawan itu tetap memutuskan untuk memaafkan ketelanjurannya dalam berkata-kata.
Ina juga sempat memberikan nasihat kepada individu itu termasuklah para penonton siaran langsung tersebut agar tidak menghina kejadian Allah SWT dan tidak lupa untuk bersyukur dengan segala kurniaan Ilahi.
“Saya maafkan dia. Tetapi saya hanya mahu memberikan nasihat. Terimalah apa yang telah Allah kurniakan di dunia ini. Nanti dekat sana (syurga) mintalah segala apa yang diinginkan termasuklah kecantikan.
“Tetapi dekat dunia jangan hina orang, bersyukur dengan apa yang Allah berikan. Lainlah kalau dia sendiri yang mengubah kejadian tuhan.” Ujar Ina lagi dalam rakaman siaran langsung tersebut.
Baca juga: Almy Nadia dah lama pasang niat nak kurus, sekali suami tak bagi pula