Menakutkan! Suhu cecah 1,000 darjah Celcius, api setinggi 30 meter

Oleh MALAYSIADATELINE

Rakyat Malaysia digemparkan dengan letupan api yang dapat dilihat dari jauh ketika orang Islam sedang sibuk merayakan perayaan Aidilfitri.

Tular di media sosial ramai berkongsi gambar letupan dan api yang menjulang tinggi, kenderaan dan rumah rosak akibat kejadian tersebut.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memaklumkan, kebakaran di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya mencecah suhu 1,000 darjah Celsius lapor Kosmo! Online.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad turut berkongsi mengenai ketinggian api yang dikatakan mencecah 30 meter (m).

Pengarah JBPM, Selangor Wan Razali Wan Ismail memaklumkan setakat ini sebanyak 190 buah rumah, 148 buah kereta dan 11 buah motosikal mengalami kerosakan akibat kebakaran serta haba panas.

Media melaporkan sebelum ini Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan kebakaran berlaku di saluran paip utama Petronas Gas Bhd (PGB) berhampiran Putra Heights, Puchong, Selangor.

Petronas memaklumkan saluran paip yang terjejas telah diasingkan dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan telah dimaklumkan.

Pada masa sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada 3.45 petang semalam.

Dalam perkongsian di Facebook, Amirudin memaklumkan 305 mangsa insiden kebakaran itu berjaya diselamatkan setakat 5 petang semalam.

Baca juga: Kebakaran saluran gas, kerajaan Selangor aktifkan PPS untuk bantu mangsa