Menang Piala Malaysia, Wilayah cuti Jumaat ini

Oleh KIM SYAZIE

3 Disember ini diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan di semua Wilayah Persekutuan selepas pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC merangkul Piala Malaysia menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perkara itu diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam satu kenyataannya sebentar tadi.

Beliau berkata, kemenangan semalam adalah pencapaian terbaik buat KL City setelah 32 tahun penantian untuk menjuarai Piala Malaysia yang mana kali terakhir kemenangan pada tahun 1989.

“Justeru adalah dimaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju supaya hari Jumaat, 3 Disember 2021 diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sempena kejuaraan pasukan KL City FC.

“Pengisytiharan Hari Kelepasan Am Tambahan ini dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369] bagi Wilayah Persekutuan,” katanya.

Semalam, pasukan KL City FC menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan JDT 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dua jaringan masing-masing daripada Zhafri Yahya dan kapten pasukan Paulo Josue pada separuh masa kedua, turut membantu skuad The City Boys melakar sejarah sebagai juara pada ulang tahun ke-100 kejohanan berprestij yang diperkenalkan pada 1921, selain meraih tiket ke saingan Piala AFC musim depan.