Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu yakin, calon Pakatan Harapan di Merlimau, Cikgu Azrin Majid bakal memberikan khidmat terbaik jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat nanti.
Mohamad yang sudah mengenali Cikgu Azrin sejak lebih 30 tahun dahulu berkata, sepanjang beliau mengenalinya, Azrin seorang yang gigih.
“Lihat saja apa yang dia buat kepada Pusat Asuhan Tunas Islam atau Pasti yang diketuainya dulu. Beliau adalah tenaga awal Pasti yang kini bercambah di seluruh negara,” kata Mohamad menerusi satu video khas yang dirakamkan ketika beliau mengunjungi Cikgu Azrin di Merlimau.
Bagi Mohamad, jika rakyat Melaka mahukan Adly Zahari menjadi ketua menteri Melaka sekali lagi, mereka perlu memenangkan Adly dan juga Cikgu Azrin di Merlimau.
“Kita perlukan sekurang-kurangnya 15 kerusi untuk membolehkan Adly kembali menjadi ketua menteri. Jadi Adly perlu menang dan Cikgu Azrin juga perlu menang di Merlimau ini,” kata beliau.
Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengumumkan, jika PH menang, Adly akan dilantik sebagai ketua menteri Melaka sekali lagi.
“Adly sudah buktikan sikap pro rakyat beliau. Yang tak milik rumah, dapat rumah, yang sewa rumah, dapat sewa yang lebih rendah.
“Semua dah diusaha oleh kerajaan PH pimpinan Adly dahulu,” kata Mohamad menerusi video itu.
Cikgu Azrin memiliki ijazah Sarjana Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi pada tahun 2005 dan ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial di Universiti Malaya pada tahun 1989.
Beliau mempunyai pengalaman menjadi guru akademik bermula di Jasin pada tahun 1996 hingga 2014 kemudian di Akademik Institut Latihan Perindustrian Selandar sehingga tahun 2018, dan beliau sebagai guru akademik di SMK Seri Bemban Melaka pada April 2020 sehingga kini.
Sebelum ini, beliau adalah Pengarah Pasti, intitusi pendidikan pra sekolah yang dianjurkan oleh Pas ketika beliau berada dalam parti itu sebelum ini.