Sukar untuk memahami pengisian dan kesan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang diterajui kuasa Amerika Syarikat (AS), Pengerusi Kongres Rakyat, Mohd Azmi Abdul Hamid berkongsikan kemusykilan besar masyarakat luar bandar.
“Cikgu, ‘menatang’ (binatang) apa TPPA ini. Saya kata, tak payah faham setuju saja. Sebut dua kali (TPPA). Sebut takpa-takpa,” ujarnya secara sinis ketika menjadi salah seorang panel dalam Sidang Kemuncak TPPA 2016 di Shah Alam hari ini.
Mesra dipanggil ‘cikgu’, beliau sendiri mengakui tidak memahami kandungan dokumen perjanjian perdagangan bebas setebal 6,000 halaman itu.
“Saya masuk wad 9 hari baca (dokumen) TPPA. Mula-mula (saya baca) faham, esoknya baca tidak faham. Setiap hari kena banyak 19 muka surat.
“YB (Datuk Mahfuz Omar) pun kena baca 411 mukasurat sehari (teks TPPA),” ujarnya merujuk kepada Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang turut hadir dalam program anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berkenaan.
Turut melontarkan pertanyaan paling asas, Mohd Azmi berkata, Malaysia sebelum ini tidak mempunyai masalah serius dengan aktiviti perdagangan antarabangsa dengan negara lain.
“Saya ingin bertanya soalan paling fundamental. Adakah kita bermasalah berdagang dengan Singapura, Australia, Kanada, Brunei? Kalau tiada masalah, kenapa perlu TPPA?” soalnya diikuti tepukan gemuruh hadirin.
TPPA ancam budaya
Aktivis itu juga membangkitkan implikasi TPPA terhadap nilai kebudayaan tempatan selain maruah dan kedaulatan Malaysia.
“Tidak ramai orang sebutkan ini (kesan kebudayaan). Kita ada budaya, sandaran kita sendiri. Lihat, nilai kebudayaan kita yang boleh terjejas akibat TPPA.
“Begitu juga masa depan industri halal negara. Amerika dalam laporan tahunan mereka konsisten mendakwa Malaysia terlalu tegas, dalam (pelaksanaan peraturan) Islam. Perundangan Islam dikatakan terlalu mengongkong dan menjadi penghalang kepada ekonomi. Bagaimana bila ada TPPA?” tegasnya.
Mengkritik kecenderungan kerajaan yang mendakwa TPPA sebagai mempunyai banyak manfaat, Cikgu Azmi berkata, sidang mengenai TPPA hari ini sebagai ruang untuk menyatakan realiti sebaliknya.
“Bila Tok Pa (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed) jelajah ke seluruh negara, semua sudah terjawab, semua positif, jadi tidak salah jika sidang ini kita tegaskan TPPA lebih banyak mudarat.
“Orang didedahkan kononnya (TPPA beri) manfaat tetapi pengalaman negara lain yang lebih terkedepan daripada kita, yang ditadbir ‘mat saleh’, mereka juga sangat perit dengan ‘trade agreement’ yang sentiasa menyebelahi Amerika,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kesemua Ahli Parlimen mempunyai kecerdikan untuk menolak TPPA sebagai tanda kebertanggungjawaban terhadap segenap lapisan rakyat termasuk golongan nelayan, petani dan suri rumah.
Sidang Kemuncak TPPA 2016 turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, bagaimanapun beliau tidak tampil berucap.