Ada usahawan dari negara China yang bertemu saya berkenaan dengan satu cadangan keusahawanan. Agak menarik juga apa yang mereka mahu buat berdasarkan conton yang sudah berjaya di China.
Selang beberapa minggu kami berjumpa, bukan untuk membincangkan dengan lebih terperinci berkenaan cadangan mereka, tetapi untuk membincangkan perancangan menambah nilai (value creation) di peringkat pemegang saham.
Ini melibatkan beberapa siri penerbitan saham pada nilai-nilai tertentu. Walaupun akhirnya jumlah saham yang dipegang pengasas menjadi agak kecil tetapi nilai keseluruhannya agak besar, berbaloilah usaha berkenaan.
Kemudian saya bertemu dengan seorang kawan lama yang berasal dari Australia. Saya pertama kali bertemu dengan beliau ketika beliau masih bekerja dengan sebuah agensi kerajaan. Kemudian beliau berhenti dan melakukan beberapa usaha.
Menubuhkan perniagaan, menjadi CEO perniagaan orang lain dan juga menjadi pemegang saham. Mesej beliau pun sama, ada peringkat yang mana menjual perniagaan lebih baik dari memegang perniagaan kita.
Dari kedua-dua interaksi di atas, ada beberapa perkara yang saya dapat rumuskan:
1. Perancangan untuk menambah nilai saham adalah sama penting dengan perancangan perniagaan. Jika ini tidak ada, pengasas perniagaan mungkin terlepas peluang untuk mendapatkan nilai yang wajar dari usahanya.
2. Untuk menambah nilai saham, kita kena menarik perhatian pelabur-pelabur yang faham akan potensi perniagaan kita dan boleh membantu untuk melonjakkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
3. Masih ada pelabur-pelabur di Malaysia yang mempunyai keupayaan untuk melabur di pelbagai peringkat penerbitan saham. Namun, pelabur-pelabur ini lebih ramai di pusat kewangan seperti Singapura dengan jumlah dana yang lebih besar.
4. Tempat untuk mengapungkan saham yang memaksimakan nilai kepada pengasas adalah Amerika Syarikat. Ini adalah kerana nilaian di dalam Dollar tentunya lebih tinggi berbanding dengan Ringgit manakala pelabur di sama mempunyai selera risiko yang lebih tinggi dan mempunyai dana yang lebih besar.
Secara mudah, untuk mencekup nilai perniagaan kita, kita kena jual (sebahagian atau pun keseluruhanya) kepada pelabur yang tepat di pasaran yang tepat. Ni macam nak memancing lah. Kita kena ada sasaran ikan apa yang nak kita cari dan di lubuk mana adanya ikan berkenaan. Jika tidak, kita dapatlah apa sahaja yang mendatang.
Walaupun saya pernah mendengar cerita berkenaan usaha untuk meningkatkan nilai perniagaan, kali ini secara tidak dirancang saya didedahkan dengan lebih terperinci bagaimana ini dilakukan sekiranya kita mempunyai rancangan perniagaan yang menarik minat pelabur-pelabur yang tepat.
Untuk bermain di peringkat ini, usahawan-usahawan yang terlibat pun kenalah mempunyai cita-cita yang besar di dalam mentadbir dan mengurus perniagaan masing-masing. Kena ada keberanian untuk merentas sempadan dan berinteraksi dengan orang-orang yang lebih ganas.
Namun, perkara yang paling penting ialah keyakinan dan kepercayaan (trust and confidence) pihak lain ke atas kita. Ini kena dibina dari peringkat awal lagi.
Lagi tinggi keyakinan dan kepercayaan ke atas kita, lebih luas peluang yang ada untuk meningkat nilai perniagaan yang kita usahakan.
Penulis adalah bekas CEO Tabung Haji. Tulisan ini disiarkan dalam Facebook beliau.