Mengamuk kerana digelar ‘pak cik’, lelaki ini lempar air panas dan kerusi di restoran

Oleh KIM SYAZIE

Gara-gara digelar ‘pak cik’ oleh pelayan restoran, seorang lelaki tiba-tiba mengamuk di sebuah kedai makan di Putra Height, Subang Jaya, Selangor.

Ketika kejadian, lelaki yang dikuasai emosi itu telah bertindak membaling beberapa biji kerusi dan menendang meja milik restoran.

Keterlaluan, lelaki berkenaan turut membaling bungkusan dan minuman panas sehingga terkena pada seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada pengusaha restoran.

Tiada kecederaan dilaporkan, siasatan mendapati kejadian yang terjadi pada Ahad lalu itu berpunca daripada salah faham diantara pekerja dan suspek.

Menurutnya, kejadian itu berlaku setelah suspek tidak berpuas hati apabila dipanggil dengan gelaran ‘pak cik’ oleh pelayan restoran.

Keadaan bertambah buruk setelah permintaannya untuk dipanggil ‘sayang’ atau ‘baby’ oleh pekerja yang berjantina lelaki itu turut diendahkan.

“Setelah pekerja mangsa menyerahkan bungkusan makanan dan minuman yang dipesan oleh suspek, suspek terus bertindak agresif.

“(Selain) Menjerit dan memaki hamun, suspek turut mengugut akan merosakkan harta benda kedai tersebut.

“Suspek bertindak membaling bungkusan makanan dan minuman panas ke dalam ruang restoran,” katanya.

Wan Azlan memaklumkan, pihaknya sedang giat mengesan suspek dan siasatan dijalankan dibawah Seksyen 506/352 Kanun Keseksaan.

Baca juga: Dahlah beri gaji RM600 sebulan, majikan suruh pula pekerja bayar bil elektrik, air