Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom perlu memberi penjelasan mengenai bonus tahunan yang masih rendah walaupun Tabung Haji (TH) memperoleh keuntungan besar pada tahun 2015.
Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, bonus tahunan TH masih dalam lingkungan yang rendah iaitu hampir menyamai bonus tahunan tahun 2000 iaitu 5.5%.
“Bonus tahunan bagi tahun kewangan bermula tahun 1994, 1995, 1996 dan 1997 ialah 9.5%. Bagi tahun kewangan 1998 dan 1999, bonus tahunan 8.0%.
“Walaupun seperti yang dinyatakan oleh Jamil Khir Baharom tahun kewangan 2015 inilah prestasi yang terbaik sejak penubuhan TH, namun tahun-tahun yang saya sebut di atas walaupun prestasi masa itu tidak sebaik zaman Jamil Khir tetapi mampu memberi bonus tahunan yang tinggi kepada penyimpan daripada keseluruhan jumlah simpanan yang disimpan oleh pendeposit,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Mahfuz, walaupun bonus tambahan 3% diberikan kepada pendeposit yang belum menunaikan ibadah haji namun ia hanya dibayar dengan pengiraan daripada jumlah simpanan yang tidak melebihi RM9,980 iaitu jumlah bayaran mengerjakan haji.
“Ini bermakna walaupun pendeposit (yang belum menunaikan haji) mempunyai simpanan RM1 juta dia akan dapat bonus 3% sama dengan pendeposit yang mempunyai simpanan RM100 atau simpanan di bawah jumlah RM9,980 berdasarkan pengiraan tidak melebihi RM9,980 iaitu jumlah bayaran menunai ibadah haji.
“Yang simpanan RM100 akan dikira 3% daripada simpanan RM100. Yang ada simpanan RM1 juta akan dikira 3% daripada RM9,980 sahaja. Sedangkan bonus tahunan bagi tahun 1994 hingga 1997 dan 1998 hingga 1999 diberi sebanyak 9.5% dan 8.0% bagi keseluruhan jumlah simpanan yang ada,” katanya.
Justeru Mahfuz berkata, Jamil Khir perlu menjelaskan perkara ini kerana para pendeposit menanti penjelasan beliau.
“Kenapa 3% bonus haji tidak dicampurkan sekali dalam kiraan bonus tahunan menjadikan bonus tahunan 8% daripada keseluruhan simpanan? Penjelasan Jamil dinanti oleh pendeposit TH,” katanya.
Kelmarin, Tabung Haji mengumumkan pembayaran bonus sebanyak 5% kepada 8.85 juta pendeposit bagi tahun kewangan 2015.
Turut diberikan, bonus tambahan 3% kepada pendeposit yang belum menunaikan ibadah haji.