Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 memberi kesan kepada integriti Ahli Parlimen yang dianggap sebagai pengkhianat.
Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam masa sama mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak menyiasat ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti.
Beliau berkata, larangan Ahli Parlimen melompat parti itu disokong walaupun ia tidak memenuhi sepenuhnya tuntutan dikemukakan Pakatan Harapan (PH).
“Perkara pembelotan ini bukan baharu. Ahli Parlimen daripada Pas sudah tahu, sejak 1961 (apabila) kerajaan Pas Terengganu dijatuhkan, namun tidak menjadi pengajaran kerana parti itu kemudian bersekongkol dan mengizinkan ia berlaku.
“Ini bukan soal belot, khianat dan lompat parti sahaja, soal yang harus diketahui oleh Perdana Menteri dan diperhatikan oleh badan seperti SPRM kerana ia membabitkan rasuah, penipuan dan sogokan dan pindaan ini tidak menyelesaikannya.
“Kita mahu guna pindaan ini untuk tanya SPRM kenapa sogokan ini tidak disiasat,” tegasnya ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.