Mengarut, kata MP dan Naib Presiden PKR yang didakwa mahu belot

Oleh MALAYSIADATELINE

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menyifatkan dakwaan 11 MP PKR akan berpaling tadah sebagai “mengarut”.

“Mengarut,” katanya yang juga menang jawatan naib presiden PKR dan MP Tanjung Malim itu.

“Rafizi dan Nik Nazmi letak jawatan kabinet untuk menjaga adab dan semangat demokrasi. Yang lain tak perlu nak menangguk di air keruh. Noktah,” ujarnya dalam satu mesej WhatsApp.

Ia ekoran senarai 11 MP tersebut yang tular semalam. Senarai tersebut juga dikatakan adalah palsu bertujuan menghangatkan isu pemilihan PKR baru-baru ini.

Ia juga didakwa tindakan penyokong pembangkang untuk mencipta naratif baru selepas ketandusan isu.

Kesemua 11 yang dinamakan juga adalah penyokong Datuk Seri Rafizi Ramli.

Senarai 11 MP tersebut adalah i Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Chang Lih Kang (Tanjung Malim), Tan Kar Hing (Ahli Parlimen Gopeng), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Johor Bahru), Wong Chen (Subang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Onn Abu Bakar (Batu Pahat) dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (Port Dickson).

Tan Kar Hing yang turut tersenarai juga menafikan dakwaan ini.

“Saya menafi sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Muhammad Azri dalam satu hantaran di FB. Pendirian dan idealisme saya dalam perjuangan ini tidak sama sekali berubah walau apapun keputusan pemilihan parti baru-baru ini,” katanya yang memaklumkan bahawa beliau sedang mendapatkan pandangan peguam dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit.

Naib ketua Bersatu (Bersekutu) Datuk R Sri Sanjeevan enggan mengulas berkenaan senarai ahli parlimen PKR yang dikatakan telah menarik sokongan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mengapa buang masa mengulas perkara ini sedangkan senarai tersebut palsu?” katanya.

Timbalan presiden MIPP, S Subramaniam bagaimanapun percaya bahawa senarai tersebut adalah benar.

“Senarai nama tersebut ialah benar tapi PN tidak terlibat dalam perkara ini.

“Ia hal dalaman PKR. Mereka mahu menarik diri kerana memperoleh kerusi mereka, ehsan daripada Rafizi,” katanya.