Menggigil nampak kamera di tingkap, gadis dakwa diintai pemilik ‘homestay’ Kelantan

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang gadis langsung tidak menyangka niatnya untuk membersihkan diri di tandas sebuah inap desa di Kota Bharu, Kelantan bertukar menjadi detik cemas.

Mana tidaknya, gadis terbabit malah ternampak sebuah telefon bimbit di luar tingkap tandas berkenaan disyaki bertujuan untuk merakam gambar atau mengambil video.

Terus menjerit memanggil ibunya dalam keadaan menggigil, gadis terbabit kemudian bertindak menghubungi abangnya yang ketika itu telah keluar untuk membeli barang.

“Hari itu aku pergi bercuti dengan keluarga dekat Kelantan, di kawasan Kota Bharu. Masa sampai itu tiada masalah. Semuanya cantik, permandangan dan rumah inap. Masa sampai itu sudah lewat sebab kami pergi masa bercuti.

“Jadi hadaplah jalan sesak selama 18 jam. Nak dijadikan cerita, duduk tak sampai setengah jam macam itu abang dan kakak ipar keluar pergi Wakaf Che Yeh untuk cari barang sedikit. Tinggallah aku bertiga dengan mak dan ayah.

“Masa itu aku pergi tandas sebab nak kencing dan mandi. Biasalah, sudah seharian keluar mesti nak segarkan badan. Masa masuk tandas itu, terdetiklah nak tengok tingkap tandas. Tiba-tiba aku tengok ada benda pelik dekat tingkap itu,” katanya.

Rupa-rupanya, perkara pelik yang dilihat gadis itu ketika berada di tandas untuk membersihkan dirinya adalah kamera belakang telefon di tingkap bahagian luar rumah inap desa.

Lebih mengejutkan, gadis itu menerusi satu hantaran di platform TikTok mengakui pelaku yang disyaki bukanlah orang lain sebaliknya pemilik inap desa ekoran rumahnya terletak bersebelahan.

“Aku pun menjeritlah panggil mak, menggigil masa itu. Telefon abang aku suruh balik cepat. Abang pula telefon pemilik inap desa cakap ada orang mengintai aku dekat tandas. Sebab pemilik tinggal di rumah sebelah inap desa. Sampai sahaja, abang aku suruh pemilik keluar.

“Pemilik cakap, ‘Saya pun kijut be (terkejut abang) tak pernah jadi macam ini’. Terus abang aku periksa telefon dia. Tetapi pandai dia padam awal-awal. Takut kantoilah itu. Bayangkan, masa kami sampai itu sudah lewat. Mana ada orang lain. Yang ada pemilik rumah itu sahaja.

“Aku apa lagi, mintalah nak tengok kamera belakang dia. Sama, memang dia. Tiada orang lain. Reaksi dia pun lain masa itu. Nampak sangat takut menggeletar. Buat jahat tetapi tak reti nak sorok. Kami bincang elok-elok dengan dia, tak marah-marah tetapi masih tak mengaku,” ujarnya.

Menurut gadis itu, pemilik inap desa berkenaan sering kali menukar topik setiap kali diminta untuk bersumpah tidak melakukan perbuatan mengintai hingga menambahkah rasa curiga terhadapnya.

Langsung tiada niat untuk ‘menutup periuk’ pemilik inap desa, gadis itu nekad membuat pendedahan sedemikian agar orang ramai lebih berhati-hati ketika menginap di inap desa.

“Aku ini bukan nak tutup periuk nasi dia. Tetapi janganlah sampai nak tngkap gambar orang dekat tandas. Tak tahu berapa orang sudah menjadi mangsa. Kasihan orang yang tak tahu itu. Aku nasib baik terdetik nak tengok tingkap masa itu. Tengok muka dia macam psiko gila.

“Selepas itu cakap terpaksa mengaku salah dia. Malam itu juga dia telefon abang aku banyak kali cakap tak boleh tidurlah apalah. Sumpah dia psiko gila, cari kami sampai pagi itu. Jadi berhati-hatilah kalau nak tempah inap desa. Cari tandas yang bertutup, tiada lubang.” Kongsinya.

Baca juga: Jangan sibuk pakai Alphard kalau bisnes setahun jagung, ini pesanan bos Farm Fresh buat usahawan Melayu