Menggigil tangan Nur Nilam terima gambar dewan kahwin, bakal madu kongsi persiapan kahwin

Oleh WAN SITI AMINAH

Isteri kepada pelakon, Azlan Komeng iaitu Nur Nilam Ortiz mengejutkan banyak pihak baru-baru ini selepas dengan tenang mendedahkan bahawa suaminya bakal berkahwin sekali lagi dengan wanita lain.

Perkara itu nampaknya mungkin akan menjadi kenyataan tidak lama lagi apabila ‘wanita lain’ di dalam perkahwinan mereka bertindak menghubungi Nilam untuk berkongsi cerita mengenai persiapan majlis perkahwinannya.

Menurut Nilam, wanita itu sememangnya bersikap gigih kerana masih berusaha mencari cara untuk mengganggu dengan menghubunginya walaupun nombor telefonnya sudah disekat sebelum ini.

Walaupun tampak tenang dalam satu perkongsian video dimuat naik di laman TikTok, Nilam bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan perasaannya apabila tangannya terlihat sedang mengigil.

“Kamu semua nampak tak aku menggigil? Aku menggigil pagi ini. Dia (bakal madu) hantar gambar dewan kahwin mengaku sudah ‘lock’ (buat tempahan) termasuklah baju nikah. Kamu semua rasa? Saya sudah sekat nombor dia.

“Nampak tak betapa gigih dia mencari aku. Lawan tetap lawan. Dia main gila dengan aku. Mungkin dia fikir Abang Lan (Azlan Komeng) banyak duit. Padahal duit Abang Lan itu, duit aku,” kata Nilam dalam perkongsian itu.

Selepas menerima gambar tersebut, Nur Nilam mengakui terus membuat keputusan menyekat nombor telefon baharu wanita terbabit kerana enggan mengambil tahu tentang persiapan majlis perkahwinan tersebut.

Nur Nilam dalam perkongsian yang sama meminta orang ramai untuk tidak terlalu khuatir memandangkan dirinya sudah menghubungi peguam sebagai persediaan untuk melangkah ke alam poligami.

“Saya sudah jumpa peguam. Kamu semua jangan khuatir sebab saya ada persediaan sendiri. Saya ini jenis yang tak banyak bercakap. Sebab kata-kata saya ini mahal. Malah ketika berjumpa wanita terbabit, saya tak banyak tanya.

“Saya tak persoalkan mengenai mak ayahnya ataupun dia berasal dari mana. Saya cuma tanya kenapa nak kahwin dengan Abang Lan walaupun dia tahu lelaki itu sudah menikah. Kenapa juga dia mengganggu saya.

“Katanya dengan mengganggu saya, barulah Abang Lan akan memberikan perhatian kepada dia,” Kesal Nur Nilam dalam perkongsian video yang berdurasi satu minit 38 saat itu.

Baca juga: “Dah beberapi kali daddy datang tapi tak dapat jumpa” – Fattah Amin