“Mental Sihat, Rakyat Kuat, Negara Hebat”

Oleh BORHAN AHMAD

Hari ini adalah Hari Kesihatan Mental Sedunia.

Dalam dunia yang semakin mencabar isu kesihatan mental menjadi semakin penting dan perlu kita sama-sama usahakan.

Di peringkat global temanya adalah Mental Health in an unequal World, Kesihatan Mental dalam dunia yang tidak sama dan seimbang.

Data menunjukkan satu dalam tiga akyat Malaysia terjejas kesihatan mental mereka akibat kehidupan seharian. Keadaan ini bertambah serius dengan pandemik Covid 19 dan krisis sosioekonomi yang datang bersamanya.

Kesannya begitu dahsyat sehingga ada yang mengambil keputusan mengambil nyawa sendiri.

Masih ada jalan keluar.

Solusinya adalah ‘whole nation approach’ pendekatan holistik melibatkan seluruh pihak dalam negara kita.

Setiap daripada kita mestilah meningkatkan keprihatinan dan empati kepada orang yang tersayang di sekeliling kita dengan memberi bantuan dan sokongan yang diperlukan di saat sukar ini.

Pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dan Kementerian pembangunan wanita, kebajikan dan masyarakat pula mesti menggiatkan peranan dalam menyediakan dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan mental untuk rakyat.

Bilangan pakar psikiatri, ahli psikologi dan kaunselor mesti dipertingkatkan di bandar dan luar bandar agar dapat diakses serta memenuhi keperluan segenap lapisan masyarakat.

Pelan Tindakan Kesihatan Mental Kebangsaan yang pernah dijanjikan dalam Rancangan Malaysia ke 11 mesti terus direalisasikan dalam perancangan akan datang. Ini termasuk menyediakan bajet dan prasarana yang secukupnya dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang memerlukan.

Sungguh meruntun jiwa melihat masih ada lagi rakyat yang terjejas mental mereka berkeliaran tanpa tujuan sehingga membahayakan diri mereka dan orang awam lainnya. Pihak berkuasa tempatan mesti mengambil tanggungjawab mengurus dan menjaga kebajikan mereka dengan kerjasama pelbagai jabatan.

Semoga kita dapat merealisasikan cita-cita menjadikan Malaysia sebuah Negara yang adil, Beramanah dan Rahmah untuk semua warganya.

————–

Penulis adalah Pengerusi Biro Kesihatan AWAN Nasional
Ketua AWAN Negeri Kelantan.