Menteri Agama hanya singgah, kata Siti Nurhaliza

Oleh Oleh MALAYSIA DATELINE

Selepas dikritik netizen, akhirnya penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza tampil menjelaskan perkara sebenar di sebalik kehadiran beberapa orang ternama dalam majlis tahnik anak lelakinya 26 April baru-baru ini.

Dalam kenyataan Siti berkata, kehadiran Menteri Agama Datuk Dr Zulkifli Al Bakri bukan majlis khas yang disangka netizen sebaliknya menteri berkenaan hanya singgah sahaja.

Katanya, beliau singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin.

“Penjelasan ini bukan untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberi pencerahan terhadap perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham pihak tertentu,” kata beliau.

Menurut Siti, tidak ada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku kerana pendakwah bebas berkenaan bersetuju hadir dan kebetulan beliau berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis itu diadakan.

Beliau menegaskan majlis yang berlangsung mengikuti SOP yang sepatutnya di mana tetamu yang hadir mematuhi syarat majis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

9 Mac lalu, Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob memberi amaran tindakan boleh dikenakan kepada ibu bapa yang merayau selepas menghantar anak ke sekolah asrama di daerah atau negeri lain.

Polis akan mengenal pasti kesalahan itu dari tarikh surat kemasukan anak mereka ke asrama.