Rata-rata peniaga kecil di sekitar seksyen 4 Kota Damansara termasuklah peniaga pisang goreng nampaknya sudah pun beralih kepada pembayaran tanpa tunai.
Biarpun dahulu transaksi wang dilakukan secara fizikal, namun masyarakat hari ini sudah tidak lagi bergantung kepada penggunaan wang tunai sepenuhnya.
Peniaga dengan cepat mula menerima perkembangan baharu ini yang bagi mereka lebih selamat dan memudahkan.
Seorang peniaga pisang goreng di tepi jalan dikenali sebagai Haris, berkata pembayaran secara kod QR menjadi pilihan kebanyakan pelanggannya tidak kira muda mahupun tua.

Dia yang sudah empat tahun berniaga berkata, transaksi tanpa tunai ini memudahkan dirinya kerana tidak perlu menyediakan wang kecil kepada pelanggan, lebih-lebih lagi jika pelanggan hanya mempunyai wang yang besar.
“Tapi ramai juga yang masih pilih bayar guna wang tunai. 50-50 lah. Cuma kalau guna kod QR ini lebih mudah kerana saya tak perlu sediakan baki wang kecil.
“Kadang-kadang ada yang datang dengan duit besar, itu susah sikit lah. Bila ada kod QR jadi mudah ,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline baru-baru ini.
Seorang lagi peniaga pisang goreng, Jacho Jaafar, 66, berkata, dia tiada masalah dengan pembayaran tanpa tunai, malah menganggap kaedah itu lebih selamat dan memudahkan.
Dia juga lebih gemar menggunakan kad debit setiap kali berbelanja barangan mentah untuk jualannya.
Seorang pekerja swasta dikenali sebagai Suresh memberitahu, transaksi “online” kadang kala agak leceh untuk digunakan atas beberapa faktor antaranya kod QR tidak dapat diimbas, capaian internet tidak kuat, aplikasi perbankan di telefon mengalami masalah, dan kad debit tidak dapat dibaca.
Mahu tak mahu katanya dia tetap perlu sediakan wang tunai di dalam dompet.
Pun begitu katanya, hampir kesemua urusan sehariannya sudah menggunakan kad debit dan kod QR.
Untuk info, kerajaan telah melaksanakan Program Cashless Society bertujuan meningkatkan kesedaran dan membina keyakinan mengenai penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan penduduk Malaysia.
Ia juga meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa penggunaan pembayaran digital adalah mudah, selamat, dan pantas.
baca: Ramai tertanya-tanya selepas Generasi Alpha, bila pula Generasi Beta akan lahir?