Seorang wanita tidak menyangka, impian indahnya untuk meraih bahagia selepas mendirikan rumah tangga hancur musnah angkara suami sendiri.
Tidak hanya gagal menunaikan tanggungjawab membayar nafkah, suaminya juga adalah seorang lelaki yang pemarah dan gemar melakukan perkara dilarang agama.
Keadaan memburuk apabila wanita dikenali sebagai Mia itu terpaksa menanggung hutang suami selepas lelaki itu menggunakan namanya untuk membuat pinjaman.
Bimbang sekiranya dirinya diapa-apakan jika meminta cerai, berikut perkongsian Mia yang terpaksa memendam derita demi menjaga aib dan juga maruah keluarganya.
“Saya nak meluah betapa tertekannya hidup ini sepanjang mendirikan rumah tangga. Suami saya tak solat, tak puasa, berjudi dan minum arak. Dia juga gemar selerakkan rumah, enggan jaga anak, suka berhutang, pemarah, pentingkan diri dan tak tunaikan nafkah buat isteri serta anak. Saya sangat tertekan.
“Saya penat asyik kemas rumah. Penat jika anak sentiasa melekat dengan saya yang sudah kepenatan bekerja. Suami pula tak mahu bantu jaga anak. Saya bekerja dan tanggung banyak perbelanjaan rumah. Saya beli lampin, susu, ubat, baju dan segala keperluan anak. Saya juga bayar pengasuh anak.
“Bayangkan, barang keperluan rumah dan dapur saya yang beli. Kadang-kadang saya juga beli benda keperluan suami. Yang paling geram, suami buat pinjaman atas nama saya dan janji nak bayar setiap bulan sebab nama dia tak boleh guna. Tetapi akhirnya saya juga yang menanggung hutang dia.
“Saya sudahlah kena bayar pinjaman kereta, nak bagi ibu ayah lagi. Sejak berkahwin dan ada anak, kewangan saya semakin teruk. Dulu boleh menyimpan. Sekarang kami hanya mampu bertahan seminggu sahaja lepas gaji kerana saya perlu bayar segala keperluan. Suami yang banyak hutang, saya pula yang terbeban.
“Saya lebih rela jika dia ada perempuan lain. Sekurangnya kami ada alasan untuk berpisah. Saya tak nak minta cerai sebab dia jenis pendendam dan pemarah. Jika dengan Allah pun dia tak takut, inikan lagi nak buat benda buruk kepada saya nanti. Saya tertekan.
“Saya tak dapat nak guna duit untuk membeli keperluan apatah lagi kemahuan sendiri. Hati kosong, sudah mampu berdikari sendiri. Ingatkan sudah berkahwin dan ada anak, kehidupan menjadi lebih indah. Tetapi saya seorang sahaja yang menggalas dan jalankan semua tanggungjawab.
“Saya penat, sangat penat. Keluarga dan ibu bapa saya tak tahu pun kesakitan yang terpaksa dialami ini. Saya pendam seorang diri demi menjaga aib suami. Hanya sabar sahaja kunci untuk kekal bertahan sampai ke hari ini. Doakan saya dilimpahkan rezeki bersama anak saya.
“Doakan agar kehidupan saya dipermudahkan. Terima kasih kerana sudi membaca luahan saya.” Pinta Mia (bukan nama sebenar) menerusi satu perkongsian yang dimuat naik menerusi laman luahan di atas talian.
Baca juga: Ibu bapa nekad kongsi duit beli kerusi bilik darjah untuk anak-anak, berjaya kumpul lebih RM700