Demi menjaga batas pergaulan, seorang wanita sanggup menerima lamaran suami walaupun baru mengenali pemuda terbabit selama lapan bulan.
Memiliki pendapatan tiga kali ganda lebih besar daripada bakal suami, wanita itu ikhlas menerima jodoh dengan redha meski hubungan mereka dimulakan tanpa cinta.
Dikenali sebagai seorang pemuda bertanggungjawab dan rajin mencari rezeki, sikap suaminya itu sebaliknya semakin berubah setelah mereka bergelar suami isteri.
Nekad mahu menjadi ibu tunggal sejurus mengetahui sikap sebenar suaminya, berikut perkongsian wanita yang mahu kisahnya dijadikan pengajaran oleh gadis bujang.
“Dari awal pernikahan aku sudah rasa tersiksa. Rupanya suami aku ini jenis orang yang tak pandai berkomunikasi hati ke hati. Sudahlah komunikasi itu penting dalam hubungan. Respon dia setiap kali aku cuba berbincang adalah diam, termenung merenung dinding atau buat kelakar. Aku rasa macam “Am I a joke to him?”.
“Apabila kami bergaduh, memang suami aku lebih gemar berdiam dan melarikan diri. Macam tak mahu bersemuka berbincang untuk menyelesaikan masalah. Pernah tiga hari dia tak bercakap dengan aku. Aku ini bersemukalah dengan dia sambil menangis. Tetapi dia hanya buat muka selamba. Selepas itu, aku mengandung.
“Aku ingatkan, perangai dia akan berubah. Rupanya sama sahaja. Aku minta dia gosokkan kaki dan belakang badan. Tetapi dia boleh kata ‘awak tak urut saya pun’. Bukan itu sahaja, dia juga akan main Facebook selepas balik kerja dari awal perkahwinan sampai sekarang. ‘Kerja’ dia tengok video yang lawak-lawak.
“Suami akan terbaring sampailah tengah malam. Bila aku tanya soalan, kali ke-5 barulah jawab sebab dia utamakan telefon berbanding aku. Aku rasa sangatlah sunyi selepas menikah dengan dia. Kemuncak kemarahan ketika aku berada dalam tempoh berpantang. Luka jahitan aku besar ya. Aku mintalah bantuan dia pakaikan stokin.
“Suami kata, ‘kejaplah’ sambil terus main telefon. Dia tak peduli. Aku tak boleh pakaikan sendiri sebab luka terlalu sakit dan tak boleh tunduk. Aku berpantang dekat rumah mentua, lagilah rasa keseorangan sangat. Bilik kami pula di tingkat dua dan ruang tamu di tingkat bawah. Jadi aku duduk dalam bilik sahaja dengan bayi kami.
“Mentua akan ambil bayi dan turun bawah bersama dia di waktu petang. Tinggallah aku keseorangan. Mentua janji jaga aku dengan anak. Rupanya nak jaga cucu dia sahaja. Dua kali lima dengan suami aku. Sekarang sudah nampak kalau aku jatuh sakit, suami tak akan jaga. Kalau berpisah pun, tiada kenangan manis akan bermain di minda.
“Jadi tujuan aku berkongsi adalah untuk beri peringatan kepada semua wanita bujang di luar sana. Aku sekarang berumur 28 tahun, anak kami sembilan bulan. Boleh tak ibu tunggal beri semangat untuk aku jadi ibu tunggal? Apa yang perlu aku sediakan? Tak nak sia-siakan hidup lagi. Aku bersedia kekalkan hubungan baik sebab anak.
“Aku rasa diri ini hanyalah isteri di atas kertas. Suami aku tidak menunaikan sebarang nafkah batin kepada aku. Tiada perhatian, tiada kasih sayang, tiada bimbingan agama,” kata wanita terbabit menerusi satu hantaran di sebuah forum di atas talian.
Baca juga: “Sejahat-jahat saya, tak mungkin saya tinggal mak lumpuh” – Azlan tepis dakwaan larikan diri