“Mereka bagi trofi, tapi tak panggil berlakon. Trofi tak boleh makan” – Sathiya mahu kerja selagi bernyawa

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelakon veteran, Sathiya pernah menghiburkan penonton televisyen tempatan tanpa mengira generasi dan bangsa terutamanya menerusi lakonannya sebagai Ravi di dalam sitkom komedi, Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Namun di sebalik gelak tawa serta populariti dikecapinya selama empat dekad bergelar anak seni, Sathiya kini perlu melalui usia senja dengan penuh dugaan terutama sejak menghidap pelbagai jenis masalah kesihatan.

Pelawak berketurunan India berusia 61 tahun itu juga kini terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak malah tidak lagi sekuat dahulu selepas terkena serangan angin ahmar, lapor Hib Glam.

Dalam kepayahan melawan penyakit, senyuman tetaplah tidak lekang daripada bibir pemilik nama sebenar Sathia Periasamy itu namun tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan yang menghimpit perasaannya selama ini.

“Saya baik-baik sahaja. Masih boleh bercakap dan rasa bersyukur ramai yang datang menolong. Jujurnya cakap, yang banyak bantu saya selama ini adalah dua bangsa sahaja iaitu Melayu dan Cina.

“Mungkin sebab saya banyak berlakon drama dan filem mereka. Tetapi bangsa India (karyawan seni) sendiri jarang beri peluang. Sedih sangat, rasa macam tidak dihargai. Orang panggil saya pergi. Kalau mereka tak panggil, saya diam sajalah.

“Sampai Tuhan panggil saya pula nanti. Mereka (karyawan India) bagi trofi, tetapi tidak panggil berlakon. Trofi tidak boleh makan. Melayu dan Cina, mereka bagi kerja, itu yang buat saya bertahan,” kata Sathiya memetik laporan Hib Glam.

Pemenang trofi Artis Bukan Melayu Popular 1998/1999 itu memaklumkan bahawa ketiadaan tawaran kerja daripada industri seni kaum India membuat dirinya terkilan kerana bangsa sendiri tidak dapat menilai bakatnya.

Dalam pada itu, bapa kepada dua cahaya mata berkenaan turut mengatakan kesediaan untuk memenuhi sebarang tawaran sekiranya ada pihak memerlukan khidmatnya meskipun tubuh sudah tidak lagi segagah dahulu.

“Satu pun tiada. Sedih sangat rasanya. Saya bukan marah, cuma terkilan. Orang lain boleh nampak nilai saya, tetapi kaum sendiri seolah-olah tak nampak. Itu yang buat hati ini rasa sayu. Tidak mengapalah, saya okey sahaja.

“Untuk Februari dan Mac depan serta beberapa bulan mendatang, saya masih ada tawaran. Saya cuma duduk atas kerusi roda, bercakap beberapa dialog. Pihak produksi faham keadaan saya. Mereka tetap beri peluang.

“Saya akan berlakon sampai mati. Kalau ada tawaran RM1,000 pun saya ambil. Kalau lebih, itu rezeki. Duduk saja di rumah buat apa? Selagi bernyawa, saya akan terus berlakon,” ujar Sathiya mengakui hidupnya bahagia meskipun sederhana.

Sementara itu, Sathiya ketika ditanya mengenai penyakit dialaminya memberitahu bahawa dirinya kini menghidap kencing manis, darah tinggi, kolesterol dan yang paling baharu angin ahmar sejak Julai tahun lalu.

Keadaan Sathiya yang mengalami angin ahmar di kedua-dua kaki dan tangan kanan itu semakin apabila pelakon terbabit terjatuh di dalam air sehingga menjejaskan pergerakannya.

“Minggu lepas, saya jatuh dalam bilik air. Kaki saya tidak kuat, tersembam atas lantai sampai dada kena besen. Masa itu, saya rasa macam dunia saya gelap. Nak bangun pun tak boleh.

“Kalau mahu sembuh, kena rajin pergi (menjalani rawatan akupuntur). Syukur, sekurang-kurangnya mulut saya tak senget. Kalau mulut lari (senget), habislah saya. Macam mana nak cari makan kalau tak boleh bercakap.

“Sepanjang atas kerusi roda, empat kali sebulan saya harus ke hospital. Setiap kali pergi, anak dan petugas hospital tolong angkat dari tingkat dua rumah. Saya tak boleh berjalan, tetapi mujurlah ada yang membantu.” Kongsinya.

Baca juga: Pernah jadi mangsa penipuan, Zizan Razak tak putus asa, nak ceburi bidang fesyen pula