Michelle Obama bakal kongsi pengalaman hidup di Singapura Disember ini

Oleh MALAYSIADATELINE

Bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS) Michelle Obama bakal berkongsi pengalaman hidupnya bersama para hadirin pada acara ‘An Evening with Michelle Obama’ yang akan berlangsung di Singapura pada 14 Dis depan.

Acara itu yang akan dianjurkan oleh penyedia acara perniagaan utama, The Growth Faculty, akan mengimbau detik-detik rasmi dan peribadi yang mengubah kehidupan beliau sebagai kelahiran Afrika-Amerika pertama yang menjadi Wanita Pertama AS.

Menurut pengasas The Growth Faculty Karen Beattie, Michelle merupakan salah seorang wanita paling berpengaruh di zaman ini, dan menyifatkan acara itu sebagai suatu yang benar-benar istimewa bagi Singapura dan rantau Asia Pasifik.

“Peguam, Wanita Pertama, ibu kepada dua orang anak dan contoh teladan global, kisah luar biasa Michelle Obama merupakan antara kisah yang menarik dan memberi inspirasi kepada ketua-ketua perniagaan dan orang ramai di mana-mana sahaja,” katanya.

Menurutnya, para hadirin boleh mendengar kisah sewaktu beliau membesar di South Side of Chicago, waktu ketika beliau menjadi seorang eksekutif, mengimbangi tuntutan sebagai seorang ibu dan juga kerja serta sorotan daripada tempoh lapan tahun semasa beliau berkhidmat sebagai Wanita Pertama.

Michelle, yang mengarang buku bertajuk ‘Becoming’, membantu mewujudkan suasana paling mesra dan inklusif dalam sejarah Rumah Putih, selain mengangkat diri beliau sendiri sebagai penyokong kuat wanita dan gadis di AS dan seluruh dunia.

Sementara itu, di pentas berasingan, suami beliau, Barack Obama akan berucap di hadapan ketua-ketua perniagaan Asia Pasifik dalam satu acara rasmi ‘In Conversation with President Barack Obama’ yang diadakan pada 16 Dis, juga di Singapura.

Presiden AS ke-44 itu akan membincangkan tentang pengalaman beliau semasa mentadbir kerajaan dan pandangannya mengenai kepimpinan di dunia.

Tiket bagi kedua-dua acara itu boleh didapatkan di www.thegrowthfaculty.com  — BERNAMA