Penyanyi, Mimi Fly kembali menjadi sorotan ramai baru-baru ini susulan tularnya rakaman memaparkan dirinya mengalunkan ayat suci al-Quran ketika menjadi tetamu di dalam program Geng Ngaji musim keenam.
Dalam rakaman tersebut, Mimi yang hadir sebagai tetamu program secara virtual itu telah diminta untuk membaca potongan surah al-Jaathiyah bermula daripada ayat 20 sehingga 21.
Alunan ayat suci al-Quran oleh Mimi di dalam rakaman itu kemudian membuatkan para panel program Geng Ngaji seperti tercengang selain turut memuji kemerduan bacaan pelantun lagu Serumpun terbabit.
Malah salah seorang panel yang juga pendakwah bebas terkenal iaitu Ustaz Tarmizi sudah mula terpegun sewaktu pemilik nama sebenar Shamimi Amalina Norisham itu membacakan Isti‘azah dan Basmallah.
Mereka juga seakan tidak menyangka bahawa penyanyi berusia 39 tahun terbabit turut mempunyai bakat untuk mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran dengan merdu dan cukup enak untuk didengari.
“Masya-Allah, tak sangka saya. Inilah yang saya suka ketika ada sahabat kita daripada kalangan penyanyi apabila dia mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran, tercengang kita yang mendengarnya,” kata Ustaz Tarmizi dalam rakaman tersebut.
Difahamkan daripada keseluruhan ayat, para panel hanya mengesan dua kesalahan kecil dilakukan oleh Mimi yang tampil manis berhijab berona hitam dengan sedikit corak ketika menjadi tetamu di dalam program tersebut.
Teknik penafasan panjang selain sebutan makhraj huruf yang bagus oleh Mimi turut menuai pujian para ustaz dan ustazah sehingga mereka memberikan markah ‘Mumtaz’ bermaksud cemerlang kepada penyanyi itu.
Mimi turut membuat pendedahan di dalam program itu dengan mengakui pernah menuntut ilmu di sebuah sekolah jenis agama selain dihantar belajar mengaji bersama seorang guru asal Indonesia pada setiap hari Rabu.
Sedutan rakaman program yang disiarkan oleh stesen televisyen swasta itu mulanya dimuat naik pengendali akaun Instagram Tazkirah Malam Jumaat sebelum tersebar di pelbagai laman media sosial termasuk TikTok.

Baca juga: Gadis cantik dari Vietnam fasih bertutur tiga bahasa termasuk bahasa Melayu buat ramai teruja