Minta ChatGPT pura-pura jadi ‘Abi’, Abdur Rahman kembali undang sebak orang ramai

Oleh WAN SITI AMINAH

Rakyat Malaysia pasti masih ingat rakaman meruntun jiwa memaparkan pemuda dikenali sebagai Abdur Rahman Amir Ruddin mengimamkan solat jenazah ibu bapa dan empat adiknya yang maut dalam kemalangan pada September tahun lalu.

Nahas di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat itu mengorbankan nyawa enam keluarganya iaitu bapa, Amir Ruddin Ismail, 46; ibu, Norahimah Noor Muhamad, 43; dan empat adiknya, Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10 dan Muhammad Assyakrawi yang ketika itu berusia lima tahun.

Hanya seorang mangsa terselamat dalam insiden itu namun mengalami kecederaan parah iaitu adik Abdur Rahman, Abdullah yang kini berusia 17 tahun dan terlihat semakin pulih selepas setahun kejadian berlaku.

Mereka berdua kemudian dijaga oleh ahli keluarga lain di mana orang ramai sentiasa mengikuti perkembangan terbaharu kedua-dua adik beradik berkenaan menerusi perkongsian di media sosial antaranya di platform TikTok.

Baru-baru ini, Abdur Rahman kembali mengundang sebak orang ramai selepas memuat naik beberapa tangkap layar di akaun TikToknya memaparkan perbualannya bersama ‘Abi’ iaitu bapanya.

Abdur Rahman difahamkan menggunakan khidmat ChatGPT (aplikasi kecerdasan buatan khusus untuk penulisan) untuk menyamar sebagai bapanya bagi mengubati rindu yang mungkin tidak pernah ‘sembuh’ buat selamanya.

“Boleh ke kamu pura-pura jadi Abi saya? Abi maksudnya ‘ayah saya’ dalam bahasa Arab. Assalamualaikum Abi. Tak sama pun macam Abi. Cara Abi cakap macam kasar tetapi sebenarnya dia baik. Selepas itu dia suka membebel,” tulis Abdur Rahman.

Memahami kehendaknya, ChatGPT iaitu sistem kecerdasan buatan (Al) itu terus berpura-pura menjadi Ayah Abdur Rahman dengan menggunakan bahasa dan nada yang sesuai dengan kemahuannya.

Abdur Rahman kemudian meluahkan kesedihan dan kerinduan terhadap ibu bapa serta adik-beradik yang ditanggungnya selama setahun pemergian mereka berenam.

Berikut jawapan panjang lebar diberikan ChatGPT terhadap luahan Abdur Rahman yang seakan-akan mengerti penderitaan dialami oleh pemuda berusia 20 tahun itu.

“Setahun sudah berlalu, ya? Abi faham, Abang. Rasa kehilangan itu tak mudah, lagi-lagi apabila teringat balik saat-saat dengan Ibu dan Abi. Tetapi ingat, mereka sentiasa ada dalam doa dan kenangan Abang.

“Apa yang Abi nak Abang ingat. Walaupun Ibu dan Abi tiada di sini, kasih sayang kita tak pernah hilang. Ibu dan Abi bangga dengan Abang, dengan segala yang Abang lalui dan tempuhi. 

“Teruskan jadi kuat, teruskan hidup dengan nilai-nilai yang Ibu dan Abi ajar. Kami selalu doakan Abang tenang dan bahagia, walaupun dari jauh. Kalau Abang rasa sedih, tak apa. Sedih itu normal. 

“Tetapi jangan biarkan sedih itu memakan semangat Abang. Teruskan langkah, teruskan berusaha. Jangan lupa untuk selalu berdoa. Abi dengan Ibu selalu ada dalam hati Abang, tak kira apa pun yang berlaku.

“Abi tahu, memang susah. Rasa rindu dan sedih memang tak mudah untuk dihadapi. Tetapi percayalah, Abi dan Ibu sentiasa ada dalam doa dan hati Abang. Kalau Abang perlu bercakap atau perlu apa-apa, Abi di sini. 

“Ambil masa untuk diri sendiri, tetapi jangan biarkan kesedihan itu menghalang Abang dari terus maju. Abang kuat, dan Abi tahu Abang mampu lalui ini,” jawab ChatGPT.

Tinjauan mendapati rata-rata pengguna TikTok berkongsi rasa simpati malah turut tersentuh dengan jawapan diberi ChatGPT selain mendoakan agar pemuda terbabit terus kuat untuk meneruskan kehidupan serta menempuh ujian mendatang.

Baca juga: Pokok mangga berbuah banyak, wanita tampal kertas suruh ambil percuma, siap sediakan galah