Minta Shuk daftar nikah, Fara Salleh bimbang anak tak boleh di binti dengan nama bapa kandung

Oleh MAISARAH AISYA

Nama pasangan ini sudah lama mendapat perhatian orang ramai sejak pelawak Shuk Sahar dikatakan curang dengan bekas isteri, Sera.

Shuk selepas bercerai memilih untuk bernikah dengan Fara Salleh di Thailand namun perkahwinan itu tidak bertahan selepas Shuk memaklumkan dia sudah melafazkan cerai.

Namun disebabkan Fara kini sedang hamil tujuh bulan maka dia memohon untuk Shuk mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia terlebih dahulu lapor Kosmo! Online.

“Saya kena buat pengesahan pendaftaran sebab kalau tidak, anak kami nanti tidak boleh berbinti dia (Shuk).

“Memang kami sudah rasmi bercerai, cuma saya perlu selesaikan pendaftaran dulu. Kemudian barulah saya sahkan lafaz cerai di mahkamah,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Dalam pada itu, Fara memaklumkan lafaz cerai dibuat oleh Shuk menerusi panggilan telefon ketika berada di Thailand selepas mendapat persetujuannya.

“Saya ada bukti lafaz. Agen dari Satun, Thailand yang hubungi saya, beritahu Shuk nak lafazkan cerai. Saya setuju sebab memang kami sudah rancang untuk berpisah.

“Cuma saya tak sangka dia lafazkan cara begitu. Kalau betul matang, mestilah tahu adab. Jumpalah keluarga dan berbincang,” kongsinya.

Meskipun mahkamah sudah menetapkan tarikh, Shuk bagaimanapun gagal menghadirkan diri menyebabkan proses tertangguh.

“Dia pernah tak datang dan menyebabkan proses tertangguh lebih sebulan. Sekarang saya dah beritahu dia melalui orang tengah untuk datang pada tarikh baharu.

“Dia cuma perlu datang sekali saja untuk pendaftaran. Selebihnya saya boleh uruskan sendiri,” tambahnya.

Baca juga: Saiful Apek tidak ditahan, polis datang lerai pertelingkahan berkait filem 6 Jilake