Mizz Nina dah ‘move on’, jadikan penyanyi rap AS sebagai teman hidup

Oleh KIM SYAZIE

Tiada angin, tiada ribut, bekas isteri penyanyi, Noh Hujan iaitu Mizz Nina membuat satu pengumuman yang mengejutkan baru-baru ini.

Mizz Nina memaklumkan bahawa dirinya kini telah sah menjadi isteri kepada penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Essam Muhammad.

Menurut wanita yang berusia 43 tahun itu, majlis tersebut diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh keluarga dan teman rapat.

Mendirikan rumah tangga dengan restu keluarga, Mizz Nina dan Essam berkongsi misi dan impian yang sama iaitu mahu berdakwah.

Dilahirkan sebagai seorang Muslim, Essam Muhammad adalah warganegara AS yang berketurunan Maghribi dan menetap di Seattle.

Kenyataan menggembirakan itu dikongsi Mizz Nina menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

“Saya ingin mengumumkan sudah bernikah pada suku kedua tahun ini dengan suami tercinta, Essam Muhammad pada satu majlis tertutup.

“Kami dedikasikan kehidupan ke jalan dakwah. Berkongsi impian dan aspirasi yang serupa, kami teruja untuk menjalani kehidupan baru bersama.

“Moga Allah berkati bakat dan rezeki yang kami ada untuk memartabatkan Ummah. Moga Allah menjaga keikhlasan dan melindungi perjalanan kami,” katanya.

Miss Nina yang pernah bergelar penyanyi itu memberitahu bahawa satu majlis resepsi bakal diadakan di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Baca juga: Kutip sampah berjenama, wanita kongsi cara dapat RM10,000 sebulan