Mohd Khairuddin mohon keampunan Allah dan maaf menyerupai Dewa Guo Jiu

Oleh MALAYSIADATELINE

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman mohon keampunan Allah dan meminta maaf jika ada pihak tersinggung kerana tindakannya  mengenakan pakaian yang menyerupai  Dewa Guo Jiu ketika hadir di majlis Perayaan Tahun Baru Cina di Wangsa Permai.

Katanya, beliau mengenakan pakaian berkenaan selepas penduduk di situ memaklumkan ia adalah pakaian ala Maharaja China.

“Keyakinan saya bahawa perayaan Chinese New Year adalah berbentuk perayaan masyarakat cina dengan sebab itu saya percaya pakaian itu adalah budaya dan ia tidak ada kena mengena dengan agama.

“Sebagai menghormati majlis budaya bangsa lain, saya tak menolak untuk memakainya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kata Khairuddin lagi, beliau menyerahkan isu ini kepada kepimpinan pusat untuk putuskan kedudukannya.

“Kalau saya tersalah dari segi hukum, saya mohon keampunan dari Allah dan saya mohon maaf jika ada yang tersinggung. Saya yakin Pas dipimpin oleh Kepimpinan ulamak dan mereka lebih arif dari segi hukum dalam masyarakat majmuk seperti Selangor. Apa pun pandangan kelak, saya terima”. ujar Adun Paya Jaras ini.