Mohd Nafuzi dilayang kad merah, Sang Kenari tewas di tangan PDRM

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) Mohd Nafuzi Mohd Zain diperintah keluar padang ketika pasukan bimbingannya yang beraksi dengan 10 pemain tewas 0-1 kepada PDRM pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Jaringan tunggal Bruno Suzuki pada minit ke-74 itu memberi kekalahan pertama musim ini buat Sang Kenari selepas merakam kemenangan berturut-turut masing-masing ke atas Perak dan Terengganu.

Babak pertama berakhir tanpa jaringan biarpun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan khususnya pasukan tuan rumah yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri, namun penjaga gol PDRM Mohamad Ramadhan Ab Hamid cekap mengawal gawang.

Intensiti perlawanan berubah memasuki babak kedua sebaik Kapten Kedah Manuel Ott dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Mohd Azizan Saat Ariffin pada minit ke-60 selepas menolak kepala pemain tengah lawan Fadi Mahmoud Awad Saleh.

Mohd Nafuzi melakukan empat pertukaran dengan membawa masuk Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam, Manuel Hidalgo, Mohamad Heshamudin Ahmad dan Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin dalam usaha mengubah rentak pasukan yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Bagaimanapun, pengendali berusia 44 tahun itu dihukum diperintah keluar padang apabila dilayangkan kad merah pada minit ke-70 selepas dilihat memeluk leher pegawai perlawanan keempat dengan sebelah tangannya di tepi padang ketika perlawanan sedang dihentikan selepas berlaku kekasaran ke atas pemain.

Baca Artikel Penuh