Mokhtar kecewa anggap ulama, asatizah Pas dihukum

Oleh ARIF ATAN

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Mokhtar Senik dilihat kecewa golongan ulama dan asatizah turut cepat dihukum atas sesuatu isu.

Menurutnya, penilaian dan hukuman dalam perbincangan sesuatu perbincangan di kumpulan WhatsApp segera dijatuhkan tanpa proses tabayyun dan husnudzon.

“Saya berada dalam puluhan kumpulan WhatsApp. Saya perhatikan hampir setiap perbincangan ahli dalam group tersebut apabila saya ada masa.

“MasyaAllah. Cepatnya dalam kalangan kita ini membuat penilaian dan hukuman bagi setiap isu.
“Apa yg mereka terima dan diberitahu, langsung mereka menerimanya dan membuat hukuman. Diulas dan disebarkan.

“Ianya berlaku bukan hanya terhadap orang awam, namun berlaku juga ke atas para ulama dan asaatizah.

“Tabayyun hanya bualan kosong. Husnudzon hanya istilah manis dalam pemgajian tasawuf. Namun, ia tiada dalam realiti amalan dan kehidupan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menyifatkan ilmu bagaikan makanan yang sedap dikunyah tetapi tidak pernah ditelan melepasi kerongkong.

“Itulah teman-teman realiti akhir zaman. Mohonlah kita perlindungan daripada berburuk sangka, gelojoh dalam menilai orang lain.

“Bentengilah sahabat dan saudara kita dengan alasan selagi ada. Jangan biarkan ia ditembak musuh kerana kelak musuh yang sama akan menembak kita,” kata Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia itu lagi.