Baru-baru ini tular satu perkongsian mengenai pasangan suami isteri yang ditimpa ujian apabila motosikal dinaiki mereka hilang selepas selesai menjalani pemeriksaan di sebuah hospital.
Difahamkan, tujuan pasangan berkenaan hadir ke pusat perubatan tersebut adalah untuk menjalani pemeriksaan susulan kerana sang isteri yang sedang hamil mengalami masalah jantung.
Pasangan yang menaiki motosikal dari Subang, Selangor ke hospital terletak di Selayang itu terpaksa menempah perkhidmatan pengangkutan e-hailing untuk pulang ke rumah selepas kejadian kecurian tersebut berlaku.
Perkongsian yang mengundang sebak dan simpati orang ramai itu dimuat naik oleh sang suami dikenali sebagai Nur Aizat menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya.
Nur Aizat dalam hantarannya itu memaklumkan bahawa dirinya dan isteri menerima ujian tersebut dengan reda selain berharap agar rezeki mereka diluaskan asbab kehadiran zuriat yang bakal dilahirkan.
βKeluar dari hospital nak balik, motosikal sudah tiada, kena curi. Kami terima ujian ini. Mungkin dengan lahirnya zuriat malaikat kecil ini, rezeki kami luas,β tulisnya di dalam hantaran tersebut.
Permintaan bakal bapa itu nampaknya termakbul apabila perkongsian tersebut turut mendapat perhatian seorang pempengaruh Islamik iaitu Ahmad Yusof atau lebih mesra dikenali sebagai Beymad.
Menerusi satu hantaran di platform yang sama, Beymad memberitahu bahawa pasangan suami isteri berkenaan telah menerima motosikal baharu untuk menggantikan kenderaan hilang sebelum ini.
Hantaran berbentuk video itu turut memaparkan situasi ketika Beymad membawa pasangan itu ke kedai untuk memilih motosikal baharu bagi dihadiahkan kepada mereka.
βALHAMDULILLAH, selesai hadiahkan motosikal baharu untuk Aizat. Semoga Aizat dan isteri sentiasa sihat dan kuat.Β Terima kasih semua yang sama-sama bantu.β Ujar Beymad.
Tinjauan di ruangan komen hantaran dikongsi Beymad mendapati rata-rata pengguna TikTok memuji tindakan pempengaruh terbabit kerana sudi meringankan beban pasangan suami isteri berkenaan.
Ramai juga pengguna mengirimkan doa supaya keluarga kecil Aizat dan juga Beymad dimurahkan rezeki dan turut berharap segala urusan pasangan itu dipermudahkan hingga kelahiran anak mereka kelak.
Baca juga: Pemuda luah rasa pelik kedai makan kenakan caj RM20 untuk lauk tempe ikan bilis βciputβ