Memorandum Persefahaman (MOU) yang sebelum ini dimeterai di antara antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) boleh terbatal dengan sendirinya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MoU yang ditandatangani tahun lalu itu juga telah menetapkan beberapa peruntukan tambahan.
Antaranya, kata beliau, berkaitan peruntukan berjumlah RM45 bilion untuk menyelesaikan masalah Covid-19, RM10 bilion untuk masalah kemiskinan, SME, undi 18 yang PH dan akta antilompat parti yang mesti diluluskan sebelum sidang Parlimen berakhrir.
“Kita sampaikan semasa bertemu Ismail Sabri, tidak mungkin MoU itu bertahan sekarang, (MoU) akan berakhir pada Mac depan.
“(MoU) terbatal dengan sendiri sekiranya tidak diluluskan dalam sidang Parlimen akan datang.
“Kalau setuju rundingan boleh diteruskan. Kalau tidak, terbatal dengan sendirinya MoU,” tegas Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika berucap sempena Pelancaran Jentera PKR, PH dan Muda sempena PRN Johor di Pulai Spring Resort sebentar tadi.
Berkenaan jentera PRN kali ini, Anwar yakin jentera parti kali ini jauh lebih baik dan bersedia sepenuhnya selepas mengambil iktibar daripada dua siri PRN sebelum ini.
“Harus diingat jentera parti perlu jadi benteng pertahanan mental dan jiwa untuk menangkan calon-calon kita.
“Kerja dengan ikhlas, matlamat biar jelas dan perencanaan harus teratur. Insya-Allah, berkat kerja keras, sabar dan doa berterusan kemenangan akan memihak kita,” kata Presiden PKR itu lagi dalam hantaran di Facebook hari ini.