Sudah sewajarnya Pakatan Harapan (PH) membatalkan memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani bersama antara kerajaan Persekutuan, pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan PH baru-baru ini.
MoU yang ditandatangani tersebut seolah-olah menjadikan PH seperti hilang kuku dan hilang taring walaupun sering kuat menyalak dan mengaum sama ada dalam mahupun di luar Parlimen.
Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, dalam MoU yang ditandatangani itu ia lebih mirip kepada manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) PH, walaupun yang lebih aulanya adalah melalui sokongan rakyat menerusi kertas undi.
“Walaupun MoU telah ditandatangani, pelbagai kebobrokan dan kerakusan begitu terserlah dan ketara dipamerkan mutakhir ini seperti yang dipertontonkan apabila kluster mahkamah turut dilepaskan.
“Begitu juga dengan Rancangan Malaysia Ke-12 turut disediakan oleh orang luar dengan upah sehingga mencecah sebanyak RM2 bilion.
“Belum lagi isu ubah suai Seri Perdana yang menelan biaya sebanyak RM38. 5 juta sedangkan 10 tahun yang lalu ia baru saja diubahsuai dengan kos sejumlah RM65 juta.
“Golongan tersebut diyakini tetap tidak akan berubah walaupun MoU telah ditandatangani. Yang terbaik bagi PH adalah wajar supaya dibatalkan sahaja MoU tersebut,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Dalam MoU yang ditandatangani, semua pihak telah bersetuju untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan secara kerjasama dwipartisan serta prioriti diberikan kepada lanskap politik melalui inisiatif transformasi terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan.