Rundingan dalam memorandum persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Persekutuan adalah isyarat awal bagi kemenangan politik baru, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Beliau berkata, persefahaman bersama itu adalah atas agenda besar keperluan demokrasi dan bukan berkompromi untuk menjual prinsip, apatah lagi menerima tawaran-tawaran kedudukan.
Menurutnya, banyak aspirasi politik Pakatan Harapan yang tergendala selama ini yang sekurang-kurangnya dapat dilunaskan sebahagiannya melalui perjanjian persefahaman tersebut.
“Ada kebaikan dan hikmah di sebalik inisiatif rundingan ini. Pertama, mencapai konsensus nasional. Kedua, mempertegaskan budaya rundingan berperinsip dan ketiga melumpuhkan politik jual kesetiaan demi jawatan.
“Kebejatan politik yang cuba menularkan budaya ‘kesetiaan boleh dijual beli’ perlu disekat segera.
“Kehendak rakyat menyegerakan akta anti-lompat adalah agenda teratas rundingan supaya keperluan rakyat didahulukan untuk melihat ahli politik yang jujur dengan mandat yang diberikan kepadanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu menegaskan, jiwa perjuangan politik perlu menjauhi label ‘Hak Cipta Terpelihara’, kerana intipati yang hendak dicapai lebih utama dari nama individu mahupun parti.
Pada masa sama beliau menjelaskan bahawa tanggungjawab sebagai pembangkang berprinsip akan diteruskan seperti semak-imbang, mengemukakan cadangan dan memastikan Parlimen yang bebas dan berfungsi.
Cita-cita ini antara yang tersenarai dalam agenda rundingan.
“Ketika politik tanahair dilanda sindrom jual kesetiaan sehingga menyuburkan budaya lompat melompat, Pakatan Harapan kekal berprinsip dan komited secara berterusan untuk kepentingan demokrasi dan pemulihannya.
“Rugilah kita jika peluang memulihkan dan menyembuhkan negara bersama disia-siakan. Lagipun inilah norma baharu politik pasca covid iaitu berkompomi dari tapak prinsip untuk sembuhkan negara,” katanya lagi.