MP Hulu Langat pastikan masalah bekalan elektrik, air segera pulih

Oleh ARIF ATAN

Banyak kawasan di Hulu Langat yang masih terputus bekalan eletrik dan air ekoran banjir besar yang disifatkan paling buruk melanda negara, 18 Disember lalu.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, beliau akan memastikan masalah itu akan diselesaikan pada kadar segera.

“Rata-rata kawasan di dalam DUN Dusun Tua ini masih tiada bekalan eletrik dan air yang menyukarkan kerja-kerja pembersihan dan sebagainya.

“Saya akan memastikan keadaan ini dapat dipulihkan sepenuhnya segera, demi kesejahteraan semua penduduk,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Hasanuddin memberitahu beliau terserempak kontraktor Telekom ketika turun menghantar barangan bantuan dan mengatur pelbagai NGO untuk khidmat membersihkan rumah yang sebelum ini dinaiki air.

“Mereka ada job utama tetapi secara sukarela mereka cuba bantu betulkan kabel Telekom ini.

“Semoga Allah berkati setiap mereka yang ikhlas membantu mangsa banjir di Hulu Langat dan seluruh negara,” tambahnya lagi dalam hantaran di Facebook hari ini.

Hasanuddin dan pasukannya bergambar dengan pekerja Telekom yang sukarela membetulkan kabel.