Ahli Parlimen DAP menyambut baik keputusan Mahkamah yang mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengarahkan parti MUDA didaftarkan.
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng juga menyambut baik keputusan mahkamah sejak kebelakangan ini yang tidak saja berpihak kepada kerajaan tetapi kebenaran.
“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Parti Muda (MUDA) yang diterajui oleh Ahli Parlimen Yang Berhormat Syed Saddiq,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Setelah beberapa kali kes pendaftaran parti tersebut dibawa ke muka pengadilan, hari ini Mahkamah Tinggi telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri untuk meluluskan pendaftaran parti tersebut beserta pembayaran kos guaman sebanyak RM 10,000.
Kemenangan yang pihak mereka terima juga bukanlah kemenangan yang calang-calang, tatkala banyak parti-parti lain didaftarkan tanpa melalui jerih payah seperti mereka, permohonan pendaftaran mereka ditolak tiga kali dan ditolak tanpa alasan yang kukuh, katanya.
Katanya, hal ini cukup membuktikan usaha berterusan mereka sudahpun membuahkan hasil dan mereka juga bukanlah anak muda yang mudah mengalah.
Selain itu, kata Lim, kemenangan pihak MUDA kali ini jelas membuktikan pihak kehakiman dalam situasi ini adalah badan yang berkecuali dan telah memberikan penghakiman bijaksana dan yang penting sekali, melalui proses yang telus.
“Beberapa minggu lepas juga kita dapat lihat pihak mahkamah telah mendapati Datuk Seri Najib Razak bersalah di atas pecah amanah dan penyelewengan dana SRC International sewaktu beliau memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.
“Hukuman ke atasnya juga telah diberikan setelah semua bukti yang dikemukakan kepada pihak mahkamah beserta mengambil kira kemudaratan ke atas rakyat yang beliau lakukan di atas dasar kepentingan nasional. Bak kata pepatah Bahasa Inggersi yang berbunyi, “justice will prevail”, katanya.
Tambahan pula, katanya, dengan berdaftarnya MUDA secara sah, diharapkan parti ini akan menjadi pemangkin bagi mendorong dan menggalak anak-anak muda untuk lebih proaktif di dalam landskap politik negara.
Sudah tiba masanya bidang politik negara ditransformasikan dan anak-anak muda negara menganjak sendiri paradigma mereka untuk lebih giat di dalam proses pembinaan negara.
“Di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lepas juga kita dapat melihat kebangkitan calon-calon muda dan kewibawaan mereka dalam memimpin.
“Umur bukanlah penghalang untuk mereka buktikan yang mereka juga mampu memberikan usaha mereka untuk membantu rakyat.
“Sekiranya anak-anak muda kita boleh lakukan, kita harus berikan ruang dan peluang kepada mereka untuk lakukan perkara tersebut,” katanya.