Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini mengagihkan 600 bekas makanan jamuan hari raya kepada petugas-petugas barisan hadapan di sekitar kawasan Parlimen itu.
Menerusi program khidmat Parlimennya, Khalid mengagihkan pek makanan tengahari kepada petugas-petugas kesihatan di Hospital Shah Alam, dan juga Klinik Kesihatan di Seksyen 7.
Selain itu, sumbangan makanan juga diagihkan kepada pegawai-pegawai polis di balai polis seksyen 6 dan 15, selain turut melibatkan agihan kepada anggota bomba di Seksyen 15.
“Para frontliners kita tetap cekal dan teguh menunaikan tugasan yang diamanahkan. Walau pelbagai ujian yang dihadapi, semangat mereka terus mekar demi negara tercinta.
“Mengakhiri bulan syawal, saya bersama Pasukan Pusat Peduli Rakyat Ahli Parlimen Shah Alam menyerahkan pek juadah makan tengahari di beberapa lokasi frontliners di sekitar Shah Alam. Sebanyak 600 pek makanan berjaya diagihkan hari ini,” katanya memetik hantaran Facebooknya hari ini.
Sebelum ini, Khalid juga menggerakkan usaha menyelamatkan hasil tanaman para petani dengan membeli hasil jagung mereka untuk diserahkan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.
Disebabkan wabak Covid-19 melanda negara, lambakan jagung dilaporkan menjadi masalah utama kepada petani kerana hasil tuaian sukar untuk dipasarkan.
“InshaAllah dengan pembelian dari Parlimen Shah Alam ini, sebahagian 900 keluarga kategori B40 di bawah Parlimen Shah Alam akan mendapat manfaat.
“Tinggi harapan kami dengan sedikit usaha ini dapat membantu semua pihak, baik dari pekebun sampailah kepada penerima,” tulisnya.