Sesi perbahasan sidang khas Dewan Rakyat pagi ini menyaksikan beberapa Ahli Parlimen BN dilihat menyokong Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ketika Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) menyambung perbahasan mengenai perjanjian perdagangan kontroversi itu.
Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) meminta supaya perjanjian itu dilihat daripada segi positif manakala Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun (BN-Kota tinggi) menganggap hujah Kelana Jaya sebagai tidak berasas kerana bersangka buruk terhadap TPPA.
Bagi Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), amalan perniagaan yang baik dapat mengelak Malaysia daripada risiko dikenakan tindakan undang-undang oleh syarikat antarabangsa seperti ditegaskan Wong Chen.
“Kalau ‘behaviour good’ bagaimana Amerika boleh saman? Saman-menyaman berlaku kalau bisnes buat salah. Kalau tidak buat salah, mana akan kena saman,” ujarnya.
Melihatkan reaksi Ahli Parlimen BN yang cenderung menyokong TPPA, Wong Chen mengingatkan sidang Dewan Rakyat bahawa Ahli Parlimen dipilih oleh rakyat bukannya syarikat korporat Amerika Syarikat.
“Kita dipilih oleh rakyat, kita bukan dipilih oleh korporat Amerika. Syarikat Amerika boleh saman kita contohnya dalam isu bauksit. Kita perlu lihat dalam isu lebih besar,” jelasnya sebagai reaksi kepada Setiawangsa.
Peguam itu turut membangkitkan isu TPPA dalam konteks geopolitik selain budaya Amerika yang umum dikenali gemar mengambil pendekatan undang-undang sesuai dengan profesionalisme kuasa besar dunia itu.
“Jangan kita buat undi tanpa logik. Kita perlukan penerangan dan pengundian yang logik dalam sidang ini,” ujar Wong Chen lagi.