MPT Bersatu tegur pemimpin PKR dakwa Mahathir sekat kemaraan Anwar tadbir negara

Oleh MALAYSIADATELINE

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi(MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan hari ini menyelar beberapa pemimpin PKR yang mendakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin negara.

Wan Saiful berkata, sewajarnya rakan dalam PKR lebih beradab dalam tuduhan yang dilemparkan kepada Pengerusi Bersatu itu.

“Rakan-rakan dalam PKR wajar menjadi lebih beradab dalam kata-kata mereka terhadap pemimpin parti lain dalam Pakatan Harapan.
“Dalam keghairahan mencari jawatan dalam parti, berbicaralah mengenai hal ehwal parti sendiri dan jangan memfitnah pemimpin parti lain.

“Tuduhan liar dan fitnah mungkin budaya orang lain tetapi kami dalam Bersatu diajar oleh YAB Tun Mahathir untuk menghormati semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata, parti itu menghormati persahabatan yang dibina dalam gabungan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun ujarnya lagi, jangan pula terdapat dikalangan pemimpin parti lain mengeruhkan hubungan baik sedia terjalin itu.

“Bagi yang celupar memfitnah semata-mata kerana nafsu mahu mengejar jawatan dunia. Perangai buruk tidak berakhlak ini bukan budaya yang kita mahu bentuk dalam gabungan Pakatan Harapan.

“Jangan heret orang lain masuk ke dalam perpecahan teruk parti sendiri.

“Pemimpin atasan PKR perlu tegas dalam hal ini. Mereka perlu membuktikan bahawa mereka tidak bersetuju dengan sikap yang biadap.

“Jika tidak, rakyat akan menganggap bahawa pemimpin atasan PKR meredhai fitnah dan perangai buruk yang ditunjukkan,” ujarnya.