Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa ketika ini pelbagai kezaliman sedang dilakukan terhadap Datuk Seri Najib Razak apabila tersebar tentang kos baik pulih Seri Perdana melebihi RM38 juta.
Beliau dalam hantaran Facebooknya turut membangkitkan semula kenyataan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang mendakwa beberapa perabot di Seri Perdana telah dibawa keluar oleh Najib Razak
“Rupanya macam macam kezaliman yang dilakukan terhadap Najib.
“Bila meletup kos baik pulih Seri Perdana cecah RM38.5 juta, Muhyiddin kata tindakan Najib pindah perabot milik sendiri antara puncanya.
“Nak pindah perabot milik sendiri dari Seri Perdana rupanya hanya diluluskan pada 18 November 2020? Buruk sungguh layanan kepada bekas seorang Perdana Menteri,” katanya.
Puad berkata, lepas kalah pilihanraya, Najib hanya diberikan beberapa jam untuk mengosongkan Seri Perdana.
“Mohon pindah perabot milik sendiri pada Ogos 2018. Hanya dijawab pada Oktober 2020.
“Najib sudah offer, dia boleh bagi percuma kalau ada niat mahu gunakannya. Tapi sayang, Muhyiddin bukan lagi Perdana Menteri,” katanya lagi.