MT Umno pecat Muhyiddin & Mukhriz, gantung Shafie

Oleh HUSIN MAHAT

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini memutuskan memecat timbalan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir daripada parti itu.

Pengumuman pemecatan itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno yang berkata keputusan berkenaan dicapai sebulat suara.

Katanya, tindakan kedua-dua mereka berkempen bagi pihak pembangkang sehingga menjejaskan parti, begitu dikesali dan satu perbuatan tidak bertanggungjawab, lapor Malaysiakini.

Muhyiddin menjadi timbalan presiden Umno kedua yang dipecat selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

MT Umno hari ini juga memutuskan untuk menggantungkan keahlian naib presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal sehingga Jawatankuasa Disiplin Umno menyiapkan laporan.

Turut sama pada sidang media, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Penerangan, Tan Sri Annuar Musa; Bendahari Umno, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzalah; serta ketua sayap, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Khairy Jamaluddin.

Pada sidang media yang sama, Najib turut mengumumkan sumbangan kerajaan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dihentikan.

Katanya, peruntukan kerajaan akan dihentikan serta merta dan semua kakitangannya akan diberi notis berhenti.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno menggesa kerajaan untuk menghentikan segala bantuan yang diberikan.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata, bantuan yang diberikan itu termasuk kewangan dan harta tetap serta kakitangan sokongan yang gaji mereka dibayar oleh kerajaan.

Beliau mendakwa langkah itu perlu kerana Mahathir menggunakan yayasan itu sebagai platform untuk menjatuhkan kerajaan.

Sementara itu dalam entri terbaru di blognya, Tun Dr Mahathir menerima sekiranya kerajaan memutuskan untuk merampas Yayasan Kepimpinan Perdana yang diterajuinya.

Namun, kata bekas perdana menteri itu, beliau sedih kerana cadangan berkenaan dibuat oleh pemuda yang akan mewarisi negara dan kepimpinannya di masa hadapan.

“Saya ucap terima kasih kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang mengesyor supaya kerajaan menghentikan segala bantuan kewangan dan harta kepada Yayasan Kepimpinan Perdana, termasuk penggajian kakitangan.

“Memanglah menjadi hak kerajaan mengguna kuasa yang diberi oleh rakyat dengan apa cara sekalipun. Ini saya terima. Rampaslah.

“Saya tidak akan merasa kehilangan apabila rampasan dibuat. Saya biasa dan faham dengan kehidupan tanpa keistimewaan,” katanya dalam tulisan terbarunya di blog hari ini.

Namun menurut Mahathir, apa yang menyedihkannya adalah pemimpin belia, yang akan mewarisi negara ini, menunjukkan kebengisan menjadi pemimpin rasuah sebelum mereka berkuasa.

“Tujuannya sama dengan rasuah. Pemberian (suapan) rasuah bertujuan mendapat sokongan, atau mengurang kritikan terhadap pemberi.

“Perampasan hak mempunyai tujuan yang sama. Tidak ada perbezaan antara pemberian dan perampasan – kedua-duanya adalah rasuah,” katanya.